Jurulatih Kelantan, George Boateng tampil memberi jawapan kenapa Prince Tagoe tidak diturunkan ketika menentang Perak dalam aksi Liga Super malam tadi.
Katanya, penyerang import baharu The Red Warriors (TRW) itu memerlukan sedikit masa lagi dan kini sedang bekerja keras untuk cergas sepenuhnya.
"Alasan kenapa Tagoe tidak bermain adalah kerana dia sedang bekerja keras. Saya antara 25,000 penyokong, juga mahu melihatnya beraksi.
"Namun, saya masih ada penyerang lain. Contohnya, Khairul Izwan. Dia bermain cemerlang ketika menentang PKNS tempoh hari, dan hari ini dia turut menunjukkan kemampuannya dengan menyumbang satu gol.
"Jadi, tidak adil untuk saya tidak menurunkannya (Izwan) dalam kesebelasan utama untuk digantikan dengan Tagoe. Tagoe akan beraksi. Dia akan tampil untuk mengimbangi beban penyerang Fakri Saarani dan Forkey Doe," katanya.
Mengulas mengenai persembahan TRW di Stadium Sultan Muhammad IV malam tadi, pengendali dari Belanda itu berkata: "Separuh masa pertama, aksi kami sangat menerujakan. Berdasar prestasi di babak pertama, kami berhak mendahului mereka 1-0. Bagaimana kami memberi tekanan dan membuat hantaran, ia sangat baik. Mereka menunjukkan karakter yang baik.
"Di separuh masa kedua ia dilihat sedikit sukar, namun secara keseluruhan saya cukup gembira dengan persembahan pasukan.
"Saya memiliki 3, 4 penyerang yang mengalami sedikit kecedaraan. Jadi, saya tidak mahu meletakkan risiko dengan menurunkan mereka," tambahnya.
Malam tadi, Kelantan mengalahkan Perak 2-1 dengan Mohamed Shawky Yazid membuka tirai jaringan untuk skuad TRW seawal minit kelima selepas menanduk masuk hantaran lintang daripada Brendan Gan.
Jaringan kedua dijaringkan oleh Mohd Khairul Izuan Rosli pada minit ke-77 selepas memanfaatkan hantaran daripada Mohd Fitri Omar. Manakala gol saguhati Perak dijaringkan oleh Mohd Norhakim Isa, dua minit kemudian.