Home » , » Boateng kaji corak Bos Gaurus

Boateng kaji corak Bos Gaurus

Boateng semasa mengendalikan sesi latihan fasa akhir di Kota Bharu, semalam.
Kebangkitan Perak yang meraih kemenangan dalam dua perlawanan terakhir sekali gus keluar daripada zon penyingkiran memaksa Kelantan membuat ‘kerja rumah tambahan’ sebelum bertemu pasukan tersebut pada saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Pengendali The Red Warriors, George Boateng berkata, beliau sudah mengkaji corak permainan skuad The Bos Gaurus dan menyifatkan kehadiran dua penyerang import baharu, Milan Purovic dari Montenegro dan Abdulafees Abdulsalam (Nigeria) sebagai ancaman berbahaya buat pasukannya.

“Sebelum Perak menang ke atas Terengganu 2-0 (19 April), mereka hanya kalah tipis 0-1 dalam tiga perlawanan berturut-turut. Selepas Perak membawa masuk empat pemain import baharu, mereka mula menjaringkan gol dalam dua perlawanan terakhir.

“Itu satu perkembangan baik tetapi saya tidak bimbang dengan perkara tersebut. Memang Perak menang 2-1 ke atas Angkatan Tentera Malaysia (ATM) tetapi mereka begitu sukar menjaringkan gol kerana lebih banyak bermain secara bertahan,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Pengendali berusia 39 tahun itu berkata, beliau mempunyai ramuan tersendiri dalam merencana strategi terbaik bagi memastikan tiga mata penuh menjadi milik pasukannya dalam pertemuan tersebut.

“Tempoh rehat satu minggu tidak ada bezanya buat kami kerana semangat semua pemain masih memuncak setelah menang ke atas PKNS FC minggu lalu. Satu perkara yang anda kena tahu ialah keyakinan tidak boleh dibeli tetapi hanya boleh diperolehi menerusi kemenangan.

“Mentaliti pemain saya bermain untuk menang. Kami berhak menang ke atas PKNS FC dan juga mungkin ketika menentang Felda United FC. Saya harap momentum kemenangan ini berterusan apabila berdepan Perak di hadapan penyokong sendiri malam esok (ini),” katanya.

Bakal beraksi tanpa tonggak pertahanan, Nik Mohd Shahrul Azim Ab Halim yang digantung perlawanan, Boateng menganggap ketiadaan pemain itu tidak mengganggu perancangannya, sebaliknya mempunyai banyak pilihan dalam menentukan barisan terkuat.

“Saya rasa sudah tahu siapa yang akan bermain malam esok (ini). Saya beritahu mereka, perlawanan ini adalah aksi berbeza. Sesetengah orang tidak faham kenapa pemain itu bermain bagus minggu lepas tetapi tidak beraksi minggu ini.

“Semuanya berkait rapat dengan soal sistem tetapi saya gembira anak buah saya memahami perkara ini,” katanya.

Dalam pada itu, Boateng lega kemelut Sijil Perpindahan Antarabangsa (ITC) melibatkan Prince Tagoe berakhir dan berharap penyerang import baharu itu dapat diturunkan, malam ini.

“Dia berlatih secara sendirian pada sebelah pagi, dan petang bersama pasukan. Saya kena berhati-hati, tidak boleh memaksanya kerana dia belum capai tahap kecergasan sepatutnya. Seperti penyokong Kelantan, saya juga mahu dia bermain tetapi bergantung kepada keadaan,” katanya.

www.sinarharian.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment