NAMA penyerang The Red Warriors, Mohd Khairul Izuan Rosli atau terkenal dengan panggilan “Iwe Seli” tiba-tiba kembali meniti di bibir penyokong setia bola sepak pasukan berkenaan sejak sebulan dua kebelakangan ini.
Prestasi membanggakan yang ditunjukkan pemain yang lahir daripada produk skuad Piala Presiden Kelantan 2007 itu dibuktikan menerusi persembahan menariknya dalam beberapa perlawanan terakhir saingan Liga Super ketika ini.
Terbaharu, penyerang berusia 23 tahun itu membuktikan sentuhannya cukup berbisa apabila menyumbat gol kemenangan buat Kelantan ketika menumpaskan Perak 2-1 sekali gus membalas kepercayaan yang diberikan oleh pengendali baharu, George Boateng.
Biar pun sering berdepan kecaman ekoran prestasi tidak menentu sebelum ini, namun Mohd Khairul Izuan berjaya membalas kritikan tersebut dengan menghadiahkan jaringan, sememangnya itulah yang dimahukan penyokong gergasi pantai timur dan bukan aksi lembik sepanjang 90 minit perlawanan.
TUAH RAKAN
Ketiadaan dua ‘penyerang 2A’, Ahmad Fakri Saarani dan Ahmad Shakir Md Ali yang masih dibelenggu kecederaan lama seakan memberi tuah buat Mohd Khairul Izuan untuk membuktikan keupayaannya di atas padang ketika ini.
Kalau dilihat, anak bekas pemain negeri, Rosli Rejab ini sebenarnya merupakan penyerang tempatan ketiga selepas Ahmad Fakri dan Ahmad Shakir yang bersaing merebut tempat dalam kesebelasan utama setelah dibayangi kehadiran Francis Forkey Doe dan Prince Tagoe.
Apa pun, mengambil kira kenyataan Boateng sebelum ini, pengendali dari Belanda itu jelas berasakan pemain yang pernah bermain dengan Harimau Muda dalam saingan Liga Perdana musim 2008 hingga 2009 wajar diberi peluang beraksi dalam barisan terkuat pasukannya berdasarkan aksi konsisten dan kesungguhannya dalam latihan.
PERLU MASA
Perjalanan Mohd Khairul Izuan untuk menjadi penyerang terbilang dan dikagumi memerlukan masa yang cukup panjang dan beliau perlu bersabar dalam menghadapi sebarang kritikan pedas daripada penyokong sendiri.
Malah keputusan beliau untuk kekal bersama negeri kelahiran, biar pun mendapat tawaran lumayan daripada sebuah pasukan berstatus kelab di Lembah Kelang awal musim ini dianggap langkah tepat dalam mengembangkan kerjayanya.
Untuk melangkah lebih jauh bersama Kelantan, Mohd Khairul Izuan perlu lebih bersikap matang dan jangan terlalu gopoh menunjukkan kehebatan kerana masa akan tiba dengan sendiri kepada beliau untuk membuktikan kehebatannya suatu hari nanti.
-sinarharian