DI SEBALIK beberapa keputusan kontroversi pengadil dari Hong Kong, Ng Kai Lam, pengendali Harimau Malaya Datuk K Rajagobal memuji anak buahnya terutama penjaga gol, Khairul Fahmi Che Mat dan penyerang, Azamuddin Akil selepas perlawanan persahabatan antarabangsa menentang Singapura di Stadium Jalan Besar, kelmarin.

Menurutnya, Azamuddin menunjukkan aksi cukup baik manakala Khairul Fahmi yang tidak diturunkan ketika menentang Filipina, mengekalkan rentak konsistennya dalam perlawanan yang berkesudahan seri 2-2 itu.
“Saya puji Azamuddin. Dia menunjukkan prestasi yang cukup baik pada perlawanan ini. Walaupun dia adalah pemain yang beraksi dalam Liga Perdana, corak permainannya matang.
“Tidak mustahil dia akan terus diturunkan dalam kesebelasan utama selepas ini. Khairul Fahmi juga sama, walaupun tidak diturunkan ketika menentang Filipina, dia masih konsisten,” katanya yang dijangka mengekalkan penjaga gol itu sebagai pilihan utama negara.
Dalam perlawanan kelmarin, Harimau Malaya mendahului menerusi jaringan Azamuddin pada minit ke-42 dan sepakan percuma Safiq Rahim (59) tetapi Singapura bangkit pada babak terakhir menerusi Shahdan Sulaiman (87) dan rembatan luar kotak penalti, Qiu Li pada masa kecederaan.
Rajagobal berkata, lima minit sebelum permainan tamat begitu mengecewakannya termasuk beberapa keputusan kurang tepat pengadil perlawanan itu.
“Saya tetap puas hati kerana di awal permainan, Singapura banyak melakukan serangan sehinggalah minit ke-35 apabila pemain mula menyesuaikan diri dengan keadaan padang.
“Aidil (Zafuan Abdul Radzak) hanya gembira apabila Khairul Fahmi selamatkan sepakan penalti dan dia hanya cakap ‘yes’. Itulah yang menukar situasi tapi dari jauh, saya nampak itu bukan penalti tapi pengadil tetap berikan penalti kepada Singapura,” katanya.
Mohd Fitrie Muhamad-BH.