Home » » Kafa bakal gugur Nwaneri?

Kafa bakal gugur Nwaneri?

Mungkinkah Kafa menggugurkan Nwaneri dan membawa masuk import baharu?
Jika benar diungkapkan Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa bahawa akan berlaku rombakan pemain The Red Warriors (TRW), ianya pasti khabar gembira buat penyokong Kelantan.

Gah dengan rekod Juara Treble 2012, Kelantan sekarang bukanlah seperti dulu yang digeruni setiap kali beraksi, malah rekod kebal di laman sendiri sememangnya sebati, namun kini terumbang-ambing dalam pentas Liga Super musim ini.

Terbaru, Obinna Nwaneri dan Mohd Ghaddar antara awang import bakal digugurkan selepas mengharungi 14 perlawanan Liga Super dan dikhabarkan digantikan dengan pemain Ghana, Prince Tagoe.

Malah, Kafa juga merehatkan Steve Darby dan melantik bekas penyerang Kelantan era 90-an, Hashim Mustapha mengambil alih sebagai jurulatih sementara sambil dibantu Zahasmi Ismail.

Bagi Presiden Kelab Penyokong Siber Bola Sepak Kelantan (Kelate.Net), Mohd Khairi Yazid, siapa pemain import atau tempatan yang bakal digugurkan perlulah diganti dengan pemain lebih berkualiti.

"Pemilihan pemain baharu perlu dinilai daripada persembahan semasa dan bukannya lampau, tidak perlu tukar pemain sedia ada jika yang baru juga tidak berkualiti dan mampu memberikan saingan.

"Kafa pastinya arif dan kita menyokong segala usaha dilakukan kerana sokongan peminat tak akan berbelah bahagi.

"Jika benar Obinna Nwaneri bakal digugurkan, kita hargai segala jasa dan bakti dicurahkan sebelum ini dan selamat maju jaya diucapkan," katanya yang percaya TRW mampu menjulang sekurang-kurangnya satu piala musim ini.

Hari ini pastinya menjadi tumpuan peminat TRW dan pesaing untuk mengetahui hala tuju Kelantan bagi meneruskan saingan dalam Liga Malaysia (Liga-M) kerana barisan baru akan diumumkan Annuar merangkumi pemain dan juga ketua jurulatih.

www.sinarharian.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment