Home » , , » KAFA tawar tiga orang kuat

KAFA tawar tiga orang kuat

KOTA BHARU - Dalam tempoh tujuh tahun, Kelantan atau lebih dikenali sebagai The Red Warriors telah menjadi pasukan yang digeruni dalam arena bola sepak tanah air.

Biarpun musim ini pres­tasinya agak tenggelam disebabkan kehilangan sekumpulan pemain tonggak, namun ia masih menjadi sebutan dalam kalangan peminat sukan nombor satu negara itu.

Membina sebuah pasukan yang hebat mungkin tidak sukar tetapi untuk melakukannya dalam tempoh singkat dan mengekalkan momentum itu bukan satu kerja mudah.

Semua ini bergantung kepada pengurusan pasukan tersebut tanpa pentadbiran yang licin dalam Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) ia tidak akan menjadi kenyataan.

Justeru itu, kebolehan pe­mimpin dalam persatuan tersebut seharusnya dimanfaatkan sepenuh­nya dalam Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana mereka sudah terbukti mempunyai kebolehan.

Kali ini, KAFA menawarkan tiga ‘orang kuatnya’ untuk menabur bakti kepada negara menerusi ­Kongres Tahunan ke-50 FAM, pada 25 Mei ini

Tiga tokoh tersebut ialah Pemangku Presiden KAFA, Datuk Seri Afandi Hamzah yang menawarkan diri untuk jawatan Timbalan Presiden FAM; Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail yang akan merebut salah satu slot untuk Naib Presiden FAM dan Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim bagi jawatan Ahli Majlis.

Nama Afandi mungkin sudah dikenali umum, namun Rosmadi dan Azman agak tenggelam kerana kedua-duanya lebih menumpukan kepada kerja serta tidak gemar ber­ada di bawah lampu suluh media.

Bagi pemerhati bola sepak Kelantan, mereka melihat Rosmadi adalah tonggak di sebalik kejayaan KAFA selepas Presiden mereka, Tan Sri Annuar Musa digantung selama dua tahun, enam bulan.

Afandi lebih banyak menumpukan tugasnya sebagai Naib Presiden FAM di Kuala Lumpur.

Pada masa sama, Rosmadi juga banyak memainkan peranan dalam FAM apabila memegang jawatan Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Bola Sepak Pantai dan Futsal.

Malah Rosmadi yang turut dilantik sebagai Pengurus Pasukan Futsal Wanita Sukan Sea tahun lalu telah menjadi satu-satunya pasukan dibawah kelolaan FAM yang berjaya membawa pulang pi­ngat iaitu gangsa.

Beliau yang mula terlibat aktif dalam sukan nombor satu negara sejak tahun 2000 itu akan menghadapi saingan lapan penjuru bagi merebut jawatan tersebut.

Bagaimanapun Rosmadi ketika dihubungi Utusan Malaysia tidak mahu mendabik dada di atas kejayaan yang dikecapinya dan me­nyerahkan kepada perwakilan untuk menilai keupayaannya.

“Berdasarkan rekod kerja sepanjang empat tahun di FAM, saya ya­kin perwakilan dari badan-badan gabungan bijak menilai sejauh mana kemampuan saya.

“Sekiranya mereka (perwakilan) berasakan saya layak memegang jawatan penting itu (Naib Presiden), saya bersedia memikul tanggungjawab," katanya.

Tambahnya, beliau sudah bersedia untuk membantu Presiden dan Timbalan Presiden FAM bagi memperkasakan sistem pengurusan gabungan bola sepak itu sekiranya diberi kepercayaan.

“Inilah masa terbaik dan peluang untuk saya sama-sama membantu dalam memperkasakan bola sepak negara," katanya.

Sementara itu, Azman yang juga Pengurus The Red Warriors merupakan watak yang sentiasa tenang biarpun ada ketikanya pasukan itu dilanda kontroversi.

Malah beliau membuktikan kebolehannya untuk mengawal dan membentuk kerjasama yang erat di antara pengurusan dengan pemain.

Sememangnya bakat yang dimiliki oleh ‘orang kuat’ KAFA ini harus dimanfaatkan di peringkat nasional bagi memastikan bola sepak kembali ke zaman kegemilangannya.

www.utusan.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment