Home » , » Perjuangan TRW difilemkan

Perjuangan TRW difilemkan

Sebahagian barisan pelakon TRW The Movie iaitu dari kanan: Ahmad Tarmimi, Julia Ziegler, Along Raja Lawak, Amir Raja Lawak. Turut kelihatan Annuar.

Aksi pemain The Red Warriors (TRW) bukan saja dapat ditonton di padang, malah bakat mereka dikembangkan ke bidang lakonan apabila 24 pemain bola sepak Kelantan akan bergelar pelakon selepas ini.

Ini susulan kerjasama The Red Warriors (TRW) Sdn Bhd bersama U 2 Media yang akan menerbitkan sebuah filem berkisahkan perjuangan jatuh bangun pasukan itu dalam mengharungi kancah bola sepak.

Difahamkan, dalam filem tersebut akan mendedahkan cerita sebenar di balik tabir pasukan Kelantan seperti krisis pemain, pemindahan pemain, usaha keras pasukan, dilema pengurusan dengan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), cabaran dalam
mengatasi pasukan yang lebih kaya, cabaran yang dihadapi jurulatih dan jatuh bangun pasukan.

Ketua Pengarah Eksekutif U 2 Media, Siti Nur Mokhtar berkata, pemilihan pasukan Kelantan dalam filem ini kerana pasukan pantai timur itu mempunyai keunikan tersendiri.

"Perjalanan TRW yang bermula dari bawah sehingga ke puncak kegemilangan memikat hati saya untuk membuat filem berkisahkan perjuangan mereka.

"Selain itu, faktor penyokong dan pengikut setia di laman sosial juga menjadi penyebab saya mengambil keputusan meneruskan projek ini," katanya berucap dalam majlis pelancaran TRW The Movie, semalam.

Sementara itu, supremo bola sepak Kelantan, Tan Sri Annuar Musa pula melahirkan rasa bangga apabila TRW menjadi pasukan pertama yang akan menerbitkan sebuah filem.

TRW The Movie berkisahkan seorang pemuda, Rohim dari Dabong yang mempunyai minat mendalam dalam bola sepak namun terpaksa berhenti sekolah dan dipaksa menjadi pemandu teksi sapu seperti ayahnya.

Rohim yang melarikan diri dari rumah kemudiannya bekerja sebagai pelayan tetamu di sebuah restoran berhampiran Stadium Sultan Muhammad IV dan berkenalan dengan anak majikannya bernama Kalsom.

Wanita itu memberi semangat terhadap dirinya dan mengatakan menjadi pemain bola sepak itu bukan sekadar sukan tetapi merupakan satu perniagaan.

Bermula daripada itu, tanpa menoleh ke belakang dia mengejar cita-citanya menjadi seorang pemain bola sepak profesional.

Filem ini dibintangi pemain TRW, kelab penyokong TRW, Fizo Omar, Kamal Adli, Intan Ladyana, Julia Ziegler, Along Raja Lawak, Angah Raja Lawak, Amir Raja Lawak, Sabri Yunus dan Datuk Ahmad Tamimi Siregar.

sinarharian.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment