Home » , , » Red Warriors Tak Letak Sasaran

Red Warriors Tak Letak Sasaran

Pelancaran jersi AFC Kelantan 2014. Gambar dari www.thestar.com.my

KUALA LUMPUR – Pengendali Kelantan, Steve Darby tidak meletakkan sebarang sasaran khusus untuk pasukan itu dalam persaingan Piala AFC yang dijadualkan bermula Rabu ini.

Katanya, dia lebih gemar meletakkan sasaran mingguan bagi membolehkan pasukan itu mara lebih jauh berbanding sasaran tetap kerana setiap perlawanan bagi pasukan itu sangat penting.

“Saya tidak mempunyai sebarang sasaran untuk saingan Piala AFC. Saya hanya meletakkan sasaran mingguan kerana sekiranya berjaya dicapai pasukan akan mara lebih jauh.


“Kalau kita letakkan satu sasaran khusus, sekiranya tidak berjaya dicapai timbul rasa tidak puas hati,” katanya kepada pemberita selepas majlis pelancaran jersi The Red Warriors untuk Piala AFC di sini semalam.

Dalam pertandingan itu, Kelantan diletakkan di dalam kumpulan G bersama Yangon United (Myanmar), Vissai Ninh Binh (Vietnam) dan South China (Hong Kong).

Darby memberitahu, dia akan berasa gembira sekiranya pasukan itu berjaya meraih satu mata daripada perlawanan pertama menentang Yangon United dan lebih gembira sekiranya meraih tiga mata penuh.

Katanya, pada perlawanan pertama itu, Kelantan akan mengalami sedikit kepincangan kerana hanya seorang sahaja pemain import yang boleh beraksi iaitu Obinna Nwaneri manakala Francis Forkey Doe, Mohamad Ghaddar dan Mohamed Shawky Aly cedera.

Dia memberitahu, jadual perlawanan yang padat juga akan menjadi satu cabaran buat pasukan itu dan dia akan melakukan penggiliran pemain bagi membolehkan pemain yang benar-benar cergas beraksi.

“Saya tidak mempunyai sebarang maklumat mengenai cara permainan Yangon United kerana sukar diperolehi tetapi memiliki maklumat mengenai dua lagi pasukan.

“Sekiranya kita gagal dalam perlawanan pertama, kita masih mempunyai baki lima perlawanan dalam persaingan ini dan saya berharap pasukan ini akan beraksi dengan baik,” katanya.

Sementara itu, penjaga gol Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat menyasarkan pasukan itu mara lebih jauh berbanding penampilan mereka sebelum ini dan berharap mampu meraih sekurang-kurangnya satu mata dari perlawanan pertama.

“Satu mata sudah cukup untuk pasukan ini tetapi kalau boleh kita nak raih tiga mata penuh,” katanya.

Penyerang pasukan itu, Ahmad Fakri Saarani perlu beraksi dengan baik bagi mengatasi pasukan Yangon United yang memiliki kekuatan di bahagian tengah.

“Berdasarkan maklumat, pasukan itu kuat di bahagian tengah dan kita perlu memberikan fokus penuh terhadap pasukan untuk mencipta kemenangan,” katanya.

www.utusan.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment