David O Leary |
Bekas pemain Arsenal dan pengurus Leeds United, David O Leary dan bekas jurulatih kelab Indonesia, PSMS Medan, Fabio Lopez dari Itali menjadi dua nama baharu yang menyatakan hasrat untuk mengendalikan pasukan Harimau Malaya.
Kehadiran dua nama itu mencukupkan bilangan yang disenarai pendek oleh Jawatankuasa Pemilihan Jurulatih Kebangsaan iaitu seramai enam orang selepas Peter Reid (bekas pengurus Sunderland), Zdenak Zeman (bekas pengurus AS Roma), Marcel Desailly (bekas pemain antarabangsa Perancis) dan Bobby Houghton (bekas jurulatih India) untuk menjadi calon bagi mengisi kerusi panas selaku jurulatih Harimau Malaya.
Naib Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Seri Subahan Kamal, yang juga pengerusi Jawatankuasa Pemilihan berkata, hanya enam nama tersebut difikirkan layak untuk dinilai dalam masa terdekat ini daripada puluhan yang memohon kepada FAM.
Beliau bagaimanapun berkata, pihaknya masih membuka pintu kepada mana-mana jurulatih lain yang berminat untuk jawatan yang kosong selepas kontrak Datuk K. Rajagobal tidak disambung pada penghujung tahun lalu.
"Banyak yang telah memohon. Saya tidak mahu berselindung, beberapa nama yang mempunyai reputasi baik turut memohon, yang terbaharu adalah bekas pemain Arsenal, David OLeary dan Fabio Lopez.
"Buat masa ini, FAM belum bersemuka dengan OLeary dan menemuduga beliau, mungkin dalam masa terdekat untuk melihat apa yang dia boleh berikan.
"Selain OLeary, kami juga akan melihat calon-calon lain kerana ada antara mereka ini mempunyai nama besar tetapi tiada pengalaman menjadi jurulatih, dan ada antara mereka mempunyai banyak pengalaman," katanya ketika ditemui di Wisma FAM selepas menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama Astro Arena dan Utusan Malaysia semalam.
OLeary yang belum berpengalaman mengendalikan mana-mana pasukan kebangsaan adalah bekas pengurus Leeds United dan Aston Villa. Kelab terakhir yang dibimbingnya adalah kelab Amiriyah Arab Bersatu, Al-Ahli pada tahun 2011.
Sementara itu, seorang lagi calon, Lopez yang berusia 40 tahun pernah menjadi penasihat dua kelab terkemuka dalam Serie A seperti Fiorentina dan Atalanta.
Dalam masa sama, Subahan mengakui peluang Datuk Ong Kim Swee untuk dilantik sebagai ketua jurulatih tetap skuad Harimau Malaya masih belum tertutup kerana keputusan yang dilakukan dalam mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif FAM baru-baru ini masih terbuka untuk dibincangkan.
"Jika ditanya mengenai cara kerja Kim Swee, saya memang menyukai apa yang dia lakukan semasa membimbing skuad negara terutama ketika menentang Yemen dan pemain juga selesa bekerja dengannya.
"Walaupun masih muda dan belum mempunyai banyak pengalaman, dia ada kredibiliti yang diperlukan untuk menjadi jurulatih kebangsaan...semuanya bergantung dalam mesyuarat exco akan datang, masih boleh ditukar jika ada pihak berasakan kita sesuai menggunakan jurulatih tempatan," katanya.
Beliau juga mempertahankan langkah FAM mengambil masa yang agak lama untuk memilih jurulatih baharu Harimau Malaya.
"Kami tidak boleh tergesa-gesa. Keputusan yang dilakukan mesti tepat kerana FAM memerlukan seorang jurulatih yang mampu menjalin kerjasama dengan semua jurulatih lain sama ada Harimau Muda A, B dan C dan Lim Teong Kim (Pengarah Projek Pembangunan Bola Sepak Malaysia)," katanya.