Home » , , » Forkey Doe makin serasi dengan Kelantan - Mac 2014

Forkey Doe makin serasi dengan Kelantan - Mac 2014

Forkey Doe
KOTA BHARU - Peledak import Kelantan, Francis Forkey Doe mendedahkan dia makin serasi dengan corak permainan rakan sepasukannya untuk mencetak lebih ba­nyak gol dalam aksi bersama pasukan itu.

Penyerang kebangsaan Liberia itu berazam untuk memberikan persembahan terbaik pada pertemuan dengan Wakil Hong Kong, South China dalam saingan Piala AFC di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu esok.

Forkey Doe berkata, kejayaan meledakan gol kemenangan pada pertemuan dengan juara bertahan Liga Super LionsXII melonjakkan lagi semangatnya untuk membalas kepercayaan yang diberikan oleh ketua jurulatih, Steve Darby.

"Pertemuan dengan kelab South China ini akan digunakan sebaik mungkin oleh saya untuk membuktikan keupayaan sebenar sebagai penyerang terbilang dalam pasukan Kelantan.

"Walaupun kami belum pernah bertemu dengan pasukan berkenaan, namun saya yakin dan percaya kita mampu meraih mata. Kelebihan beraksi ditempat sendiri perlu dimanfaatkan sebaik mungkin," katanya semalam.

Forkey Doe memberitahu, dia tidak mahu memikirkan sama ada diletakan sebagai pemain utama atau simpanan dalam pasukan sebaliknya mahu fokus dalam setiap perlawanan yang bakal diharungi selepas ini.

Katanya, tugasnya kini ialah membantu The Red Warriors melakar kemenangan pada perlawanan tersebut sekali gus menghidupkan semula peluang Kelantan dalam saingan musim ini.

"Saya anggap aksi ketika bertemu dengan juara bertahan Liga Super, LionsXII adalah yang terbaik dipamerkan oleh saya sepanjang lima perlawanan," ujarnya.

Dalam perkembangan lain, Forkey Doe berkata, dia cukup mengagumi corak kepemimpinan dan permainan yang dipamerkan oleh kapten pasukan Mohd. Badhri Radzi atau lebih dikenali dengan Piya.

Katanya, Piya merupakan perancang tengah terbaik di Malaysia setakat ini dan ketua pasukan itu menjadi salah satu punca dia memilih untuk beraksi bersama The Red Warriors.-Utusan.
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment