Home » , , » Kelantan tekad bangkit - Liga Super 2014

Kelantan tekad bangkit - Liga Super 2014

The Red Warriors
KETUA jurulatih Kelantan, Steve Darby mahu anak-anak buahnya melupakan kekalahan kepada kelab Vietnam, Visaai Ninh Binh dalam saingan Piala AFC minggu lalu.

Sebaliknya, Darby menuntut The Red Warriors kembali pada saingan Liga Super menentang Selangor di Stadium Shah Alam malam ini.

Darby berkata, kekalahan 2-3 kepada Vissai Ninh Bin di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu Selasa lalu tidak menjejaskan tumpuan barisan pemainnya untuk berdepan Gergasi Merah dalam perlawanan itu nanti.

"Seperti mana yang kita ketahui, Selangor turut beraksi dalam saingan Piala AFC dan mereka baru saja pulang dari Vietnam.

"Sudah pastinya mereka sedikit penat selepas mengharungi perjalanan yang jauh.

"Situasi itu memberikan sedikit kelebihan buat Kelantan, jadi saya mahu para pemain memanfaatkan kesempatan tersebut dengan mempamerkan aksi mantap seterusnya meraih tiga mata," katanya semalam.

Menurut Darby, moral barisan pemainnya berada pada tahap terbaik dan mereka sudah bersedia mencuri tiga mata berharga di gelanggang lawan.

Darby turut memberitahu, kekalahan kepada kelab Vietnam itu Selasa lalu memberi ruang kepadanya untuk mengenal pasti kelemahan yang ada.

"Saya akan mempertaruhkan barisan terkuat dalam misi mencuri tiga bagi mengukuhkan kedudukan kami dalam carta Liga Super," jelas Darby.

Kelantan kini berada di tangga kedua liga dan berkongsi 13 mata dengan Terengganu, namun berkelebihan satu perlawanan berbanding skuad Peteh itu.

Sementara itu, peledak import Kelantan, Francis Forkey Doe bertekad mempamerkan ketajaman penyudah sekiranya diberikan peluang untuk beraksi malam ini.

Forkey Doe berkata, tugasnya kini ialah merobek gawang lawan bagi memastikan The Red Warriors membawa pulang tiga mata penuh.

"Saya tidak mempunyai sebarang tekanan walaupun menentang bekas pasukan lama. Apa yang penting bagi saya ialah memberikan aksi terbaik," ujarnya.-kosmo-
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment