Home » , , » Red Warriors rampas takhta

Red Warriors rampas takhta

Liga Super 2014
KUALA LUMPUR - Kelantan meraih keceriaan berganda semalam apabila bukan saja mengejutkan penyandang juara, LionsXII 2-1 di Stadium Jalan Besar, malah merampas takhta Liga Super daripada Terengganu biarpun menamatkan permainan 10 pemain.

The Red Warriors kini mengumpul 12 mata daripada enam perlawanan, meninggalkan Johor Darul Ta'zim (JDT) yang kini menghuni anak tangga kedua dengan 10 mata selepas menumpaskan Sime Darby 2-0 di Stadium Majlis Perbandaran Selayang.

Dalam perlawanan di Jalan Besar, LionsXII membuka jaringan pada minit ke-27 menerusi Khairul Amri Kamal untuk tuan rumah mendahului 1-0.

Bagaimanapun penyerang kebangsaan, Mohd. Fakri Saarani mengetuai kebangkitan The Red Warriors pada separuh masa kedua apabila meledak gol penyamaan pada minit ke-52.

Nasib Kelantan agak malang apabila terpaksa beraksi dengan 10 pemain selepas Shakir Ali dibuang padang pada minit ke-79, namun kekurangan itu tidak menjejaskan rentak mereka.

Sebaliknya penyerang import, Francis Forkey Doe memastikan pelawat membawa pulang tiga mata berharga dengan menjaringkan gol kemenangan pada masa kecederaan.

Sementara itu, JDT melonjak ke tangga kedua liga selepas meraih gol menerusi pemain import, Luciano Figueroa pada minit ke-23, sebelum Norshahrul Idlan Talaha menggandakan kedudukan 2-0, lapan minit kemudian.

Dalam perlawanan di Stadium Darul Makmur, Pahang berpesta gol dengan menumpaskan ATM 4-1.

Penyerang Argentina, Matias Conti membuka jaringan pada minit ke-14, sebelum Dickson Nwakaeme menggandakan kedudukan empat minit berikutnya.

Faizol Hussain memastikan Pahang selesa di hadapan menerusi jaringan minit ke-35 dan Nwakaeme menyumbat gol keduanya pada minit ke-52. Gol saguhati ATM diperoleh pada minit ke-68 menerusi Juan Manuel Arostegui.

Di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, T-Team meraih kemenangan kedua musim ini selepas menewaskan Sarawak 2-0.

Gol tuan rumah disumbangkan Mohd. Ramzul Zahini Adenan pada minit ke-47 dan Badrul Hisyam Morris.

Aksi Perak dan PKNS yang berlangsung di Stadium Perak pula berkesudahan seri 1-1.

Tuan rumah membuka tirai jaringan seawal minit keenam permainan menerusi Eliel da Cruz, sebelum Carlo Primorac menyamakan kedudukan pada minit ke- 40 dan keputusan kekal sehingga tamat permainan.

Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment