Afc Cup 2014 | Kelantan vs Vissai Ninh Binh |
Bagaimanapun, anak buah Steve Darby terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal pasukan pelawat pada minit ke-23 menerusi rembatan Bryan Kavin Elroy selepas bijak memanfaatkan hantaran lintang Dinh Van Ta. Tuan rumah bangkit memperkemaskan permainan dengan menggandakan asakan dan beberapa kali berjaya menembusi benteng lawan namun gagal merapatkan kedudukan dek kerana ketumpulan jentera penyudah. Malang buat Kelantan bermula pada minit ke-34 apabila terpaksa beraksi dengan sepuluh pemain selepas Ahmad Shakir Ali dilayangkan kad merah kerana mengasari kapten pelawat, Le Van Duyet.
The Red Warriors cuba bangkit dan akhirnya berjaya menyamakan kedudukan menerusi tonggak pertahanan Muhammad Nazri Ahmad selepas sepakan percumanya pada minit ke-37 dari luar kotak penalti gagal diselamatkan penjaga gol pelawat Nguyen Van Hung.
Tuan rumah kemudiannya mendahului pelawat apabila Mohd. Khairul Izuan membuktikan ketajaman penyudahnya menerusi rembatan kencang ke arah gawang sekali gus meledakkan gol kedua Kelantan pada minit ke-46.
Malapetaka sekali lagi melanda The Red Warriors sebaik sahaja babak kedua bermula kerana kehilangan Mohd. Khairul Izuan yang dilayangkan kad merah dan diperintah keluar padang selepas dikatakan mengasari Sim Woon Sub.
Pada minit ke-59, Darby cuba menukar strategi dengan memasukkan Mohd. Badhri Mohd. Radzi dan Mohamad Shawky menggantikan Wan Zaharulnizam Zakaria dan Faizol Nazlin Sayuti namun gagal mengubah kedudukan tuan rumah yang semakin tertekan.
Diasak bertalu-talu oleh Vissai Ninh Binh, gawang tuan rumah yang terpaksa beraksi dengan sembilan pemain akhirnya bocor lagi pada minit ke-49 dan minit ke-62 selepas masing-masing dirobek tonggak import lawan, Tambwe Patiyo serta Voinea Petrisor.-utusan-