Darby dipecat serta merta selepas Kelantan tewas 4-1 kepada Sime Darby dalam aksi Liga Super pada Selasa. |
PETALING JAYA: Ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby dipecat serta merta selepas skuadnya tewas 4-0 kepada Sime Darby pada aksi Liga Super di Stadium Selayang Selasa malam.
Kekalahan tersebut merupakan rekod kelima kekalahan The Red Warriors (TRW) sekaligus menyaksikan tindakan drastik diambil oleh Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Tan Sri Annuar Musa dengan memecat jurulatih kelahiran Liverpool itu.
"Banyak masa dan peluang telah diberikan dan banyak kekalahan kita terima dengan sabar. Namun tewas 4-0 adalah sesuatu yang tidak boleh dibiarkan begitu sahaja.
"Sebagai usaha yang terpaksa kita lakukan, ketua jurulatih Steve Darby dilepaskan dari tugasnya berkuat-kuasa serta merta.
"Tugasnya itu akan diambil alih buat sementara oleh Hashim Mustapha dan Zahasmi.
"Seorang jurulatih baharu akan melaporkan diri dalam masa terdekat.
"Keputusan perlawanan ini akan dikaji dengan mendalam oleh satu panel dan jika ada lagi perkara lain yang memerlukan tindakan, maka Kafa akan tetap mengambil langkah-langkah yang lebih tegas demi bola sepak Kelantan," jelas Annuar di laman Facebook miliknya.
Sementara itu, Annuar turut memaklumkan skuad Kelantan bakal disertai pmain baharu kelahiran Ghana.
"Dimaklumkan juga bahawa TWR telah menandatangani kontrak dengan pemain Piala Dunia dari Ghana, Prince Tagoe dan di jangka akan beraksi pada perlawanan akan datang bertemu Sarawak," tambahnya.
Darby dilantik untuk mengendalikan skuad Kelantan bermula 15 November lalu menggantikan Bojan Hodak.
Bekas pengendali Perak dan Johor itu mengikat kontrak selama dua tahun.
-mstaronline.