Steve Darby |
PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan mengadakan mesyuarat dalam masa terdekat bagi membincangkan prestasi semasa The Red Warriors dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Naib Presiden KAFA, Datuk Rosmadi Ismail ketika dihubungi Kosmo! semalam.
“Mesyuarat tersebut akan membincangkan beberapa isu termasuklah prestasi jurulatih dan pemain The Red Warriors setakat ini,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai desakan peminat serta penyokong Kelantan yang mahukan ketua jurulatih, Steve Darby (gambar) melepaskan jawatan secara terhormat.
Kosmo! semalam melaporkan penyokong setia Kelantan sudah hilang sabar dengan percaturan Darby selepas Kelantan tewas besar 0-4 kepada kelab Vietnam, Vissai Ninh Binh dalam aksi Kumpulan G Piala AFC 2014 di Stadium Ninh Binh, Vietnam, Rabu lalu.
Rosmadi memberitahu, pihaknya menerima positif setiap pandangan yang dilontarkan oleh penyokong-penyokong Kelantan terutama melibatkan skuad The Red Warriors.
Katanya, KAFA sudah berusaha sebaik mungkin dalam usaha memantapkan pasukan Kelantan bagi mengharungi saingan Liga M musim ini.
“Kita tidak boleh menghalang penyokong untuk memberikan pandangan kerana itu adalah hak mereka sebagai ‘pemain ke-12’ The Red Warriors.
“Pandangan yang diberikan oleh mereka itu akan kita kaji dan membuat penambahbaikan bagi memperkemas lagi pasukan,” ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Rosmadi berkata, tindakan KAFA memperkenal pemain sayap lincah Harimau Malaya, Wan Zack Haikal Wan Nor pada sidang akhbar minggu lalu tidak perlu disensasikan oleh sesetengah pihak.
Menurut Rosmadi, Wan Zack yang sebelum ini menyarung jersi kelab Divisyen Tiga Jepun, FC Ryukyu masih menjalani sesi pemulihan selepas ditimpa masalah kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) pada paha kanan.
“Kita mahu dia (Wan Zack) pulih sepenuhnya daripada kecederaan yang dialami. Usaha KAFA mendapatkan khidmatnya adalah sebagai persiapan awal memantapkan pasukan untuk saingan musim depan,” jelasnya.
www.kosmo.com.my