Atm vs kelantan |
Kuala Lumpur: Ketua jurulatih Angkatan Tentera Malaysia (ATM), B Sathianathan menuntut barisan pemainnya melupakan episod duka sepanjang mengharungi saingan pusingan pertama Liga Super dengan menjadikan Kelantan mangsa pertama apabila pasukannya melayan kunjungan anak buah Steve Darby di Stadium MP Selayang, malam ini.
Bagi Sathianathan, misi tiga mata ketika beraksi di halaman sendiri amat penting bukan saja bagi memulihkan maruah tercalar selepas hanya menghuni tangga kedua tercorot apabila mengumpul sembilan mata daripada 11 perlawanan untuk kembali memburu kelompok teratas Liga Super di pusingan kedua.
Katanya, prestasi tidak menentu sebelum ini memberi pengajaran berguna kepada mereka untuk bangkit memburu kemenangan pada setiap perlawanan yang diharungi bermula dengan pertembungan menentang The Red Warriors.
“Memang mengecewakan selepas kami menguasai perlawanan di Kelantan minggu lalu, tetapi apakan daya kami kalah.
Kami akan bangkit untuk memburu kemenangan pada aksi di sini.
“Apapun kami perlu berwaspada dengan Kelantan yang memiliki pemain berpengalaman dan mampu menidakkan peluang ATM memburu kemenangan jika kita tidak berhati-hati dengan corak permainan taktikal pasukan itu.
“Saya amat mengenali Darby serta pemain Kelantan yang bijak mengubah corak permainan apabila berada dalam tekanan.
Selain itu, kelibat pemain import mereka Muhammad Ghaddar dan Shawky Aly juga harus diawasi,” katanya.
Mengenai kecederaan pemain, Sathianathan berkata hanya K Reuben dan Amirizwan Taj masih disisihkan akibat kecederaan Anterior Cruciate Ligament (ACL) manakala yang lain bebas daripada sebarang kecederaan.
www.hmetro.com.my
www.hmetro.com.my