Home » , » Piala AFC: Kelantan tersingkir

Piala AFC: Kelantan tersingkir

KOTA BHARU - Kelantan tersingkir daripada Piala AFC selepas tewas 2-3 kepada Yangon United dalam perlawanan Kumpulan G di Stadium Sultan Muhammad IV semalam, meninggalkan hanya Selangor terus bersaing untuk ke pusingan kedua.

Pasukan yang dibimbing Steve Darby itu kini berada di tempat tercorot kumpulan dengan tiga mata selepas lima perlawanan.

Kumpulan itu diterajui kelab dari Vietnam, Vissai Ninh Binh yang mengumpul 13 mata, diikuti kelab Myanmar, Yangon dengan sembilan mata dan South China dari Hong Kong dengan empat mata.

The Reds Warriors akan menentang South China pada 22 April di Hong Kong untuk aksi terakhir .

Kelantan yang membariskan skuad terkuadnya bermula baik apabila beberapa kali berjaya me­nembusi kubu lawan.

Kerancakan tuan rumah mengatur serangan bagaimanapun tergendala seawal minit ke-24 apabila penyerang dari Lebanon, Mohamad Ghaddar mengalami kecederaan dan terpaksa digantikan dengan Mohd. Khairul Izuan Rosli.

Malah, anak buah Darby terlebih dahulu dikejutkan dengan gol awal pelawat seminit kemudian menerusi tendangan leret Cezar Augusto yang bijak memperdayakan Khairul Fahmi Che Mat.

Tuan rumah seterusnya memperkemaskan permainan dengan menggandakan asakan termasuk mencipta sekurang-kurangnya tiga peluang terbaik, namun gagal mencari gol penyamaan.

Pada babak kedua, The Red Warriors cuba bangkit dan akhirnya menyamakan kedudukan menerusi Mohd. Khairul yang melakukan rembatan kencang tepat ke gawang pelawat pada minit ke-48.

Tuan rumah mendahului apabila Wan Zaharulnizam Zakaria mengatur gerakan secara solo sebelum menewaskan penjaga gol, Pyae Phyo Oo, untuk meledakkan gol kedua Kelantan pada minit ke-54.

Kegembiraan Kelantan bagai­manapun tidak lama apabila Yangon menyamakan kedudukan pada minit ke-63 melalui tendangan padu tepat ke gawang tuan rumah yang disempurnakan tonggak serangannya, Emerson Reis Luiz.

Diasak bertalu-talu oleh Yangon, gawang tuan rumah bocor lagi pada minit ke-79 selepas Khairul Fahmi gagal menampan kemas bola tendangan Augusto dan penyerang Kyaw Ko Ko yang tidak dikawal segera me­nyambar peluang untuk menghasilkan gol kemenangan pasukannya.

Dengan kekalahan Kelantan, harapan negara dipikul oleh Se­langor yang kini menduduki anak tangga ketiga Kumpulan F dengan lima mata di belakang peneraju, Hanoi T&T (sembilan mata) dan Arema Indonesia (tujuh mata), manakala Maziya dari Maldives di anak tangga terbawah dengan satu mata.


www.utusan.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment