![]() |
Pemain Kelantan menjalani latihan di bawah kendalian Boateng di Stadium Sultan Muhammad IV, semalam. Kredit foto : meezan defella |
BERBEZA dengan Steve Darby, Ketua Jurulatih baharu The Red Warriors, George Boateng ternyata mempunyai cara tersendiri dalam mengemudi pasukannya bagi menghadapi baki saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim ini.
Boateng yang mula membimbing Kelantan sejak lima hari lalu tampil melakukan pembaharuan dengan menerapkan sistem latihan yang begitu efektif sambil menekankan elemen kecergasan sebagai perkara terpenting buat anak didiknya ketika ini.
“Falsafah bola sepak saya tidak pernah berubah. Saya orang Belanda dan berpegang kuat dengan prinsip hidup masing-masing. Kami (orang Belanda) tidak suka bermain secara bertahan dan kami akan terus menyerang habis-habisan.
“Kelantan adalah sebuah pasukan yang hebat dan sepatutnya bermain dengan cara yang hebat. Kami mampu menewaskan mana-mana pasukan dengan gaya permainan bola sepak menarik tetapi kami juga kalau tewas perlu dengan cara seperti itu,” katanya, semalam.
Bekas pemain antarabangsa Belanda itu memberitahu, fokus utamanya kini terarah kepada usaha meremajakan semula pasukannya memandangkan beliau percaya skuad gergasi pantai timur itu masih relevan untuk bersaing memburu kejuaraan dalam Liga-M musim ini.
“Pasukan ini cukup lengkap segala-galanya, ada pemain tempatan dan pemain import yang hebat. Tugas saya kini ialah membina kekuatan pasukan bermula dari awal hingga akhir kerana saya percaya Kelantan masih berupaya menjadi pencabar kepada pasukan lain.
“Anda boleh lihat sendiri komitmen tinggi yang ditunjukkan pemain dalam pasukan ini. Semua pemain bekerja keras dalam latihan biar pun saya tidak minta lebih daripada mereka. Malah, mereka masih boleh bergurau senda dan ketawa, itu satu perkara yang penting dan saya gembira dengan perkembangan ini,” katanya.
Pengendali berusia 39 tahun itu mengakui beliau berpuas hati dengan kesungguhan yang ditunjukkan oleh dua pemain importnya, Hussein Alaa Hussein Salman dan Prince Tagoe biar pun kedua-dua mereka baharu menyertai pasukan tersebut tidak sampai seminggu.
“Hussein Alaa merupakan pemain pertahanan yang boleh bertindak balas dengan cepat, mempunyai banyak pengalaman dengan kawalan bola yang menarik. Saya fikir penyokong akan terkejut dengan penampilannya terutama dia memiliki daya kepimpinan sebagai jeneral di atas padang.
“Begitu juga Tagoe, nampak cukup tajam di depan pintu gol. Dia sedang berusaha meningkatkan tahap kecergasannya dan apa yang saya perhatikan hari ini, dia begitu menakjubkan dan mampu menjadi penggempur berbisa pasukan ini,” katanya.
sinarharian.com.my