Home » , , » Kelantan, Boateng semakin serasi

Kelantan, Boateng semakin serasi

Kehadiran Boateng (kiri) banyak mengubah corak permainan Kelantan dalam dua perlawanan lalu.
Seri 3-3 dengan Felda United FC pada aksi separuh akhir pertama Piala FA dan terbaharu mencatatkan kemenangan bergaya 2-0 ke atas PKNS FC dalam saingan Liga Super membuktikan Kelantan sebenarnya mampu bangkit untuk keluar daripada kemelut prestasi kurang memberangsangkan bagi musim ini.

Keputusan positif dalam dua perlawanan tersebut merupakan petanda baik buat Kelantan yang kini dilihat semakin serasi dengan sentuhan pengendali baharu, George Boateng setelah beliau diberi kepercayaan mengemudi pasukan berkenaan, akhir bulan lalu.

Ketua Pasukan The Red Warriors, Mohd Badhri atau dikenali Piya berkata, kehadiran bekas pemain antarabangsa Belanda itu yang menggantikan Steve Darby banyak mengubah corak permainan pasukan mereka dalam dua perlawanan lalu.

“Biar pun hanya baharu dua minggu melatih Kelantan, namun Boateng telah membawa perubahan cukup besar. Malah semua pemain nampak cukup serasi biar pun corak latihannya agak memenatkan. Kemenangan 2-0 ke atas PKNS FC ibarat langkah kanan bagi beliau.

“Dia sentiasa menekankan aspek disiplin dan saya fikir itu adalah kunci kejayaan Kelantan dalam dua perlawanan lalu. Anda sendiri boleh lihat, sejak dia mengambil alih membimbing pasukan ini, corak permainan kita sudah berbeza,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Jeneral padang berusia 32 tahun itu turut mendedahkan, sikap Boateng yang cukup tegas ketika mengendali latihan begitu ditakuti tetapi beliau dan rakan sepasukannya tidak mempunyai masalah untuk menerima pembaharuan tersebut demi kebaikan bersama pasukan.

Sementara itu, mengulas kemenangan ketujuh Kelantan dalam aksi Liga Super musim ini, Mohd Badhri memberitahu, beliau begitu optimis pasukannya mampu menamatkan saingan dalam kelompok lima terbaik.

Keyakinan tersebut disuarakan Mohd Badhri berdasarkan perbezaan mata yang tidak begitu ketara di antara Kelantan dengan empat pasukan teratas setelah mengharungi 15 perlawanan setakat ini.

Beliau bagaimana pun mengakui peluang pasukan untuk mengakhiri saingan liga musim ini pada kedudukan terbaik banyak bergantung pada prestasi semasa mereka terutama dalam baki tujuh perlawanan selepas ini.

“Saingan masih lagi terbuka, tetapi saya dan rakan-rakan kena bekerja lebih keras. Kami perlu memanfaatkan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri dengan mengutip mata penuh dan mencuri sekurang-kurangnya satu lawan di tempat lawan,” katanya.

sinarharian.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment