Home » , » TRW kembali rebut mahkota Liga Super

TRW kembali rebut mahkota Liga Super

Kejayaan 'The Red Warriors'  menewaskan Perak 2-1  malam tadi dilihat meletakkan skuad pantai timur itu kembali ke landasan dalam perburuan mahkota Liga Super musim ini.

Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) Tan Sri Annuar Musa berkata, skuad bimbingan George Boateng itu juga membuktikan sekalipun tanpa aksi pemain import, mereka masih mampu mencatatkan kemenangan.

Beliau yang menyambut hari lahirnya ke-58 hari ini, turut memuji corak taktikal Boateng yang tidak menurunkan dua awang import mereka - Prince Tagoe dan Francis Forkey Doe - yang dikatakan masih belum cergas sepenuhnya.

"Kecewa pada mulanya balik Kota Baharu ingin melihat Tagoe (beraksi) tapi tidak di senarai...Doe pun tidak turun.

"Berani betul Boateng ambil risiko tapi bangga melihat pemain tempatan kita beraksi malam tadi...hadiah harijadi yang indah," kata Annuar menerusi posting terbarunya di laman Facebooknya, hari ini.

Prince Tagoe dilaporkan mengalami kecederaan manakala Forkey Doe masih belum cergas sepenuhnya selepas mengalami kecederaan dalam perlawanan sebelum ini.

Kemenangan itu meletakkan Kelantan pada kedudukan kelima liga dengan kutipan 25 mata selepas beraksi dalam 16 perlawanan.

Kelantan akan berkunjung ke Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, Kuala Terengganu, Sabtu ini (24 Mei) untuk menentang wakil kelab, T-Team. - Bernama
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment