KRAKOW, Poland - Ashley Cole memberi satu lagi tamparan hebat kepada England dalam persiapan The Three Lions menghadapi Perancis pada aksi pembukaan Kumpulan D kempen Euro 2012, Isnin ini.
Tonggak pertahanan kiri Chelsea itu dijangkiti kuman di dalam perutnya, sekali gus mencetuskan persoalan tentang peluangnya untuk diturunkan nanti.
Ketiadaannya pasti memberi kebimbangan kepada jurulatih England, Roy Hodgson dalam persiapan berdepan Perancis di Donetsk.
Leighton Baines diramal menggantikan tempat Cole dalam skuad utama, namun situasi itu tetap memberi tamparan hebat kepada England yang beberapa jam sebelum itu kehilangan penyerang, Jermain Defoe berikutan kematian bapanya.
Defoe terpaksa pulang ke England dan hanya bahawa dia akan kembali semula ke Poland secepat mungkin.
Ketiadaan Defoe menyebabkan England kekurangan pemain di barisan serangan.
Dengan Wayne Rooney yang menjalani penggantungan perlawanan, England kini terpaksa mengharapkan Danny Welbeck, Andy Carroll dan Ashley Young pada pertemuan dengan Perancis.
Bagaimanapun, masih ada khabar gembira buat England mengenai John Terry yang berharap dia sempat pulih dari masalah hamstring.
Terry dijangka turun berlatih hari ini bagi melihat sama ada dia cergas atau tidak untuk diturunkan pada aksi menentang Perancis.
Dalam pada itu, England memulakan hari pertama latihan di Krakow semalam.
Hodgson memberi tumpuan kepada jentera serangannya dan mencari keseimbangan antara taktik menyerang serta corak bertahan.
Welbeck telah digandingkan dengan Young manakala James Milner, Steven Gerrard, Parker dan Stewart Downing di bahagian perancang.
"Jurulatih ada pelbagai cara dan gaya permainan. Ada yang menyerang sepanjang masa manakala ada yang duduk dan bertahan.
"Jika beliau rasa pemain yang kami ada sesuai dengan corak permainan tersebut, maka itulah yang beliau mahu kami lakukan," kata Downing. - Agensi