Home » » EURO 2012 - Skuad England di tangan Hart.

EURO 2012 - Skuad England di tangan Hart.


KRAKOW, Poland - Persoalan sama ada England mampu menyinar ataupun terpaksa pulang awal daripada kempen Euro 2012 kali ini bergantung kepada kredibiliti penjaga gol utamanya, Joe Hart.

Persembahan memukau Hart, 25, sejak mengambil alih tugas sebagai penjaga gol nombor satu England pada Piala Dunia 2010 di Afrika Selatan jelas mencuri tumpuan peminat meskipun penjaga gol Manchester City itu sekadar membuat 18 penampilan antarabangsa bersama The Three Lions setakat ini.

Sebelum ini, England dilihat sering berdepan masalah dengan posisi penjaga gol sebaik legenda Arsenal, David Seaman mengambil keputusan untuk bersara pada Januari 2004.

Sejak itu, beberapa penjaga gol seperti Paul Robinson, David James dan Robert Green dilihat gagal mempamerkan aksi yang diharapkan apabila seringkali membuat kesilapan mudah semasa beraksi bersama England.

"Sejujurnya, saya lebih gemar memikirkan prestasi sendiri kerana semua orang boleh membuat perbandingan yang mereka suka.

"Ketika ini, keyakinan saya berada pada tahap tertinggi dan berazam mahu membuktikan kemampuan saya bersama England," katanya.

Menurut Hart, masih terlalu awal untuk membandingkan kecekapannya dengan Seaman ataupun legenda-legenda England lain seperti Gordon Banks mahupun Peter Shilton.

"Bukan saya yang menentukan kejayaan England sebenarnya, sebaliknya ia melibatkan kerjasama seluruh rakan sepasukan.

"Buat masa ini, saya hanya mahu memastikan gawang kami tidak bolos dalam setiap perlawanan," katanya.

England bakal berdepan cabaran Perancis dalam aksi pembuka tirai Kumpulan D di Donbass Arena, Donetsk Ukraine tengah malam Isnin depan. - AFP

1 comments: