Home » , » Hadkan tempoh pegang jawatan Presiden FAM’

Hadkan tempoh pegang jawatan Presiden FAM’


Bekas Setiausaha Agung Gabungan Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Dr. Peter Velappan menyarankan sesiapa yang mahu menjadi presiden baharu Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam kongres pemilihan 28 Mei ini wajar diberikan peluang menyandangnya selama dua penggal sahaja.

Katanya, tiada tempoh tambahan boleh diberikan lagi kepada penyandang kerusi No. 1 FAM itu apatah lagi sekiranya terbukti bola sepak negara masih tidak meningkat atau lebih merudum di bawah pentadbiran baharunya.

“Jika Tuanku Presiden (FAM, Sultan Ahmad Shah) mahu berundur, maka negeri-negeri (ahli gabungan persatuan) mesti serius dalam mencari pemimpin baharu dan berikan hanya dua penggal kepadanya untuk tunjukkan kepemimpinan yang betul, terutamanya dalam sistem pembangunan bola sepak profesional.

“Kita ada bakat dan pemain kita masih sebagus di negara lain macam Korea Selatan dan Jepun tetapi kita tiada kepemimpinan yang betul untuk bawa mereka (meningkatkan pencapaian lebih tinggi)," katanya di Wisma Majlis Olimpik Malaysia di sini semalam.

Velappan mengulas mengenai Kongres FAM yang dijangka mempertandingkan satu jawatan presiden, dua timbalan presiden dan empat naib presiden serta sepuluh ahli jawatankuasa eksekutif (exco) bagi penggal 2014-18.

Terdahulu beliau ditemui pada majlis pelancaran buku karyanya, ‘Beyond Dreams’ oleh Timbalan Presiden FAM, Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah yang juga Naib Presiden AFC dan Ahli Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Velappan, bekas Penolong Setiausaha FAM, penolong pengurus pasukan Olimpik Munich 1972 dan Pengarah Penyelarasan Piala Dunia Jepun-Korea 2002, mengakui bahawa Tengku Abdullah merupakan salah seorang calon yang layak dan berwibawa untuk menggantikan ayahandanya yang telah menerajui FAM sejak 1984.

“Seperti yang anda tahu, beliau ada banyak pengalaman di FAM, AFC dan FIFA tetapi berikan dua penggal sahaja, tidak lebih. Jika dia gagal, (berikan peluang kepada) yang lain," tegasnya.

Velappan turut menempelak tindakan segelintir pihak khususnya ahli politik yang hanya lebih berminat untuk menyertai FAM dengan niat mencari apa yang boleh memanfaatkan mereka semata-mata.

“Ada ramai ahli politik menyertai FAM bukannya mahu meningkatkan mutu bola sepak negara tetapi (mahukan) apa yang boleh mereka dapat daripada sukan ini.

“Saya fikir kini kita perlukan pemimpin generasi baharu yang benar-benar mahu meningkatkan sukan bola sepak kita yang sudah tunjukkan kejayaan dengan layak ke Olimpik Munich (1972) dan Moscow 1980," katanya.

Mengenai kecenderungan FAM kepada jurulatih asing bagi mengendalikan Harimau Malaya dengan yang terbaharu, Marcel Desailly dari Perancis, katanya: “Pastikan mereka yang mahu datang tahu budaya, perwatakan dan pembawaan pemain kita (terlebih dulu).

utusan.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment