Home » , » ‘Hodak mampu beri impak besar’

‘Hodak mampu beri impak besar’

Johor Bahru: Bekas jurulatih Johor Nasir Yusof yakin pelantikan Bojan Hodak selaku pengurus Johor Darul Ta’zim (DT) mampu memberi impak positif kepada pasukan itu dalam saingan Liga Super.

Ternyata Nasir yang sinonim dengan gelaran 'The Professor' dan pernah membantu Johor merangkul kejuaraan Piala Malaysia 1985 dan kejuaraan berganda musim 1991 tidak menolak kehadiran bekas pengendali Kelantan itu amat penting untuk memberi informasi terhadap pasukan lawan. 

Katanya, dengan informasi mengenai pasukan lawan, ia memberi kelebihan buat jurulatih Cesar Ferrando Jiminez merencana strategi lebih ampuh sebelum berdepan dengan mana-mana pasukan yang bersaing di liga elit domestik. 

“Sejak Tunku Mahkota Johor (TMJ) Tunku Ismail Sultan Ibrahim memegang jawatan Presiden PBNJ, saya kerap hadir menyaksikan perlawanan membabitkan Johor DT malah pada musim ini dengan barisan kejurulatihan mantap dan pemain berkualiti ternyata cukup lengkap.

“Sebagai bekas pemain kebangsaan, saya amat teruja dengan apa yang dilakukan Tunku Ismail dan memang tidak boleh dipertikaikan usaha gigihnya. Bagi saya Hodak dan Jiminez memiliki kepakaran masing-masing dan pasti kombinasi mereka mampu memberi kelebihan kepada Johor DT.

“Hodak sudah 'masak' dengan kancah Liga M dan saya rasa penting buat Jiminez mendapat informasi mengenai teknik dan taktikal pasukan lawan malah kedua-dua mereka bakal membentuk kombinasi digeruni musim ini,” katanya ketika ditemui selepas perlawanan amal membabitkan Pasukan Pilihan TMJ menentang Pilihan PBNJ di Stadium Larkin, kelmarin. 

Dalam perlawanan itu juga, PBNJ menyalurkan sumbangan RM10,000 kepada setiap lapan keluarga mangsa lemas di Segamat, Jumaat lalu serta sumbangan RM20,000 kepada setiap enam pertubuhan kebajikan anak yatim terpilih di negeri itu. 

Nasir berkata, percaturan taktikal yang dilakukan Jiminez dalam beberapa aksi lalu sudah ada peningkatan, namun masalah komunikasi antara pemain dan pengendali dari Sepanyol itu menyebabkan ada pemain sukar memahami pertuturannya. 

“Bola sepak sekarang sudah moden, perancangan taktikal bukan saja dengan beri arahan menggunakan isyarat tangan sebaliknya komunikasi dan percakapan. Oleh itu dengan adanya Hodak saya yakin tiada masalah komunikasi dan memudahkan pemain memahami kehendak Jiminez,” kata Nasir.

hmetro.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment