Home » » Hanya kejayaan mampu jana pendapatan

Hanya kejayaan mampu jana pendapatan


Salam sejahtera dan apa khabar semua. Penajaan dalam bolasepak merupakan satu daripada sumber penting dalam menjana perjalanan sesebuah pasukan dalam liga bolasepak disertai.

Saya ingin berbicara dalam konteks yang lebih kecil iaitu liga Malaysia. Tidak dinafikan masih lagi ada segelintir syarikat-syarikat korporat bersaiz gergasi mahupun sederhana yang menjauhkan diri daripada terlibat dengan liga bolasepak tempatan.

Semuanya gara-gara persepsi atau tanggapan salah mereka terhadap mutu bolasepak Malaysia. Ghairah dan memasang impian untuk terlibat dengan liga bolasepak antarabangsa.

Tetapi dalam keghairahan mereka yang berlumba-lumba menyalurkan jutaan ringgit ke luar negara masih ada banyak syarikat-syarikat sederhana hatta berstatus Enterprise yang bersaing untuk terlibat dengan liga Malaysia.

Lihat sahaja di Kelantan, bagaimana berbondong-bondong syarikat kecil dan sederhana mahu menjadi rakan pasukan bolasepak Cik Siti Wan Kembang.

Tidak dinafikan penubuhan The Red Warriors Sdn Bhd cetusan Tan Sri Annuar Musa telah banyak membuka ruang 'perniagaan' dalam bolasepak.

Diterajui Ketua Pegawai Eksekutif, Kevin Ramalingam, TRW mereka 'menjual' pasukan bolasepak mereka untuk mendapatkan panajaan.

Tetapi mereka bukan menjual barang bermutu rendah tetapi pasukan Kelantan sentiasa diburu syarikat-syarikat perniagaan. Nilai kormersil pasukan ini meningkat sejak zaman B. Sathianathan hinggalah treble ciptaan Bojan Hodak.

Nilai itulah yang telah meletakkan Kelantan sebagai sasaran utama penaja yang mahu turut serta - berdamping, strategi pemasaran, mengaut keuntungan sambil membantu menyemarakkan bolasepak di sana.

Sesuatu yang mengagumkan, penajaan pasukan Kelantan terus meningkat tahun ini walaupun hanya memenangi Piala F.A. sahaja tahun lalu. Itu petanda bahawa nilai kormersil mereka sangat stabil.

Kini satu lagi pasukan yang mengorak langkah sama ialah juara Piala Malaysia 2013, Pahang Darul Makmur. Bermula musim ini Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) menubuhkan jabatan Penjenamaan, Pemasaran dan Promosi yang diterajui bekas pelumba, Fahrizal Hasan selaku pengerusi.

Impaknya cukup besar apabila kini pasukan Pahang mampu menjana pendapatan dari sumber penajaan yang lumayan. Malah bukan sahaja jersi tetapi seluar pemain juga sudah ada nilai berharga.

Sekali lagi, hanya kejayaan yang mampu menarik minat syarikat-syarikat perniagaan untuk sama-sama berjuang di medan pertarungan dan juga bidang perniagaan.

Ini seharusnya menjadi ikutan terutama pasukan-pasukan yang tidak memiliki 'kuasa' kewangan yang besar.

Kita harus terus berusaha meningkatkan mutu dan kualiti bolasepak negara demi untuk merancakkan bukan sahaja arena bolasepak tetapi industri bolasepak. 

Pastikan syarikat-syarikat konglomerat dan korporat berjaya dan bersaiz mega berpaling untuk melabur dalam bolasepak liga Malaysia sekaligus misi menjadikan liga bolasepak profesional Malaysia pada 2015 tercapai tanpa penangguhan.

Oleh Akhbar Sahari

Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment