Kelantan FA |
Setiausaha Agung KAFA, Azman Ibrahim berkata, mengikut terma dan syarat yang ditetapkan oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hanya tiga pemain tempatan sahaja yang boleh dibawa masuk pada pendaftaran kedua ini. Menurutnya, pihak persatuan belum membuat keputusan muktamad dan perkara tersebut masih lagi di peringkat perbincangan.
Setakat ini, kami mempunyai dua lagi kuota pemain tempatan. Jika kami mengambil tiga pemain baharu salah seorang yang berada dalam pasukan pada masa ini terpaksa digugurkan. Kemungkinan besar kami akan mengambil pemain di posisi serangan, tengah dan pertahanan dalam usaha memantapkan lagi pasukan untuk mengharungi baki persaingan musim ini," katanya kepada pemberita di sini semalam.
Mengulas mengenai perkembangan status Branden Gan, Azman memberitahu KAFA masih lagi menunggu dokumen yang diperlukan dalam usaha melengkapkan pendaftaran pemain berkenaan. Katanya, status pemain itu akan diputuskan selepas KAFA berjaya mendaftarkan pemain tersebut nanti. Masih terdapat beberapa dokumen yang belum lengkap, KAFA akan meneliti peraturan dibuat oleh FAM sama ada dibenarkan beraksi atau tidak dalam liga tempatan," ujarnya.
Dalam perkembangan lain, Azman memberitahu, KAFA belum membuat sebarang perancangan untuk menukar pemain import sedia ada dalam tempoh perpindahan pemain Mac ini. Katanya, KAFA percaya kesemua pemain importnya kini mampu memberikan impak kepada pasukan dalam usaha meraih kejuaraan musim ini.
Pada 12 Mac lalu, Penasihat KAFA, Tan Sri Annuar Musa menerusi akaun Facebook miliknya menulis tiga pemain baharu akan dibawa masuk pada tempoh perpindahan pemain kedua ini. In sya Allah jika tiada halangan, awal April nanti tiga pemain baharu akan menyertai The Red Warriors," ujarnya. -utusan-