Home » , , » Kelantan ‘enggan hormati’ JDT - Liga Super 2014

Kelantan ‘enggan hormati’ JDT - Liga Super 2014


IA dianggap satu perlawanan berprofil tinggi apabila Kelantan melayan kunjungan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada ‘pertemuan panas’ saingan Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu, malam ini.

Namun pengendali TRW, Steve Darby tidak mahu barisan pemainnya terlalu menghormati pasukan lawan ketika bekas jurulatih Kelantan musim lalu yang kini pengurus skuad Harimau Selatan, Bojan Hodak tampil melaungkan amaran mahu meraih tiga mata di Kota Bharu.

Sebaliknya, Darby menegaskan, betapa anak buahnya cukup bersedia menyerap tekanan untuk berdepan pasukan selatan tanah air itu apatah lagi mempunyai kelebihan beraksi di hadapan puluhan ribu penyokong setia sendiri.

“Semua pemain berlumba-lumba untuk merebut tempat kerana mereka sedar malam esok (ini) adalah satu perlawanan yang cukup besar. Kami hanya menantikan lampu hijau mengenai tahap kecergasan Zairul Fitree Ishak dan masalah kesihatan dialami Mohamed Shawky Aly.

“Ahmad Shakir Md Ali kembali daripada penggantungan perlawanan. Ini memberikan banyak variasi untuk saya memilih pemain. Pastinya, kami akan menurunkan barisan terkuat apabila berdepan skuad bimbingan Cesar Ferrando Jiminez itu,” katanya kepada Sinar Harian semalam.

Malah jurulatih kelahiran England itu seakan memahami rintihan penyokong setia mereka apabila mengesahkan bintang import sensasi, Mohamad Ghaddar berada dalam perancangan utama beliau untuk diturunkan malam ini.

“Mohamad Ghaddar akan berada dalam kesebelasan utama. Dia begitu ghairah mahu bermain lebih-lebih lagi Kelantan menentang JDT. Masanya sudah tiba untuk dia diturunkan, selepas pulih daripada kecederaannya itu,” katanya.

Percaturan jurulatih berusia 59 tahun tidak terhenti di situ apabila turut membayangkan kesediaan menyenaraikan dua muka baharu iaitu Brendan Gan dan Mohd Fitri Omar dalam skuadnya bagi menghadapi JDT malam ini.

“Kami menunggu kelulusan sama ada Brendan Gan dan Mohd Fitri boleh atau tidak diturunkan jika urusan pendaftaran mereka selesai semalam. Wan Zack Haikal Wan Noor pastinya tersisih akibat kecederaan dan hanya akan beraksi pada kempen Piala Malaysia nanti,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai kekuatan JDT, Darby menganggap ketiadaan tonggak pertahanan import, Baihakki Khaizan tidak merencatkan perancangan pasukan lawan untuk berdepan Kelantan.

“Anda tidak boleh gembira apabila melihat pemain tercedera tetapi anda tidak akan kisah sekiranya pemain digantung perlawanan. Saya gembira dengan keputusan pengadil (melayangkan kad merah kepada Baihakki) tetapi mereka masih mempunyai ramai pemain berkualiti di bangku simpanan,” katanya.
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment