Pemain baharu TRW, Wan Zack Haikal Wan Noor mengakui menerima beberapa tawaran dari pasukan lain namun, memilih Kelantan untuk mengembangkan kariernya kerana melihat kesungguhan mereka mendapatkan khidmatnya.
Jelasnya, Kelantan sebuah pasukan profesional yang menunjukkan kesungguhan untuk memilikinya meneruskan karier selaku pemain bola sepak.
“Saya akui ada terima beberapa tawaran pasukan lain namun keputusan ini dibuat atas kehendak diri sendiri dan masa depan kerana saya pastinya perlu bermula dari bawah memandangkan telah lama tidak beraksi akibat kecederaan.
“Beraksi dengan Kelantan pastinya dinantikan setiap pemain malah saya juga lebih selesa dan rapat dengan keluarga selain motivasi diberikan pengurusan Kafa mampu menaikkan semangat.
“Kesungguhan mereka menarik minat dan percaya inilah pasukan yang boleh mempercepatkan proses pemulihan kecederaan ACL yang kini berada difasa terakhir,” katanya yang kini telah turun menjalani latihan ringan bersama rakan sepasukan.
Sementara itu, Mohd Fitri Omar yang sah menyarung jersi Kelantan sedia diturunkan beraksi melayan kunjungan Harimau Selatan dalam aksi Liga Super, malam ini .
Jelasnya, dirinya bersedia untuk menggalas tugas namun semuanya bergantung di tangan jurulatih yang lebih arif.-Sinar Harian