Home » » Wan Zack Haikal tidak sabar sarung jersi TRW

Wan Zack Haikal tidak sabar sarung jersi TRW


Pemain yang beraksi bersama kelab Rukyu FC, Wan Zack Haikal tidak sabar lagi untuk menyarung jersi The Red Warriors (TRW) selepas mengesahkan penyertaannya bersama pasukan Kelantan itu hari ini. 

Pemain berusia 23 tahun ini kini berada pada fasa terakhir proses pemulihan kecederaan 'anterior cruciate ligament' yang dialaminya Oktober tahun lepas.

"Saya sudah bersedia untuk beraksi bersama pasukan Kelantan. Bagaimanapun, saya diberi kebebasan sehingga betul-betul pulih sepenuhnya baru boleh beraksi dalam perlawanan Liga Malaysia bersama TRW," katanya ketika ditemui selepas majlis memperkenalkan tiga pemain tempatan baharu yang menyertai TRW ketika pintu kedua pendaftaran pemain dibuka mulai hari ini.

Pemain sayap ini dijangka dapat beraksi paling awal pada bulan Jun dan paling lewat pada bulan Ogos selepas kecederaannya pulih sepenuhnya. 

Pengumuman penyertaan pemain baharu TRW dibuat Penasihat Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa) Tan Sri Annuar Musa.

Selain Wan Zack, dua lagi pemain merupakan pemain pertahanan kebangsaan Fitri Omar yang mewakili pasukan ATM dan Brendan Gan, bekas pemain Sydney FC di Liga Australia.

Annuar berkata ketiga-tiga pemain baharu ini melalui proses yang unik sebelum mengikat perjanjian kontrak selama tiga tahun untuk memperkukuhkan pasukan gergasi pantai timur itu.

"Proses ini adalah perpindahan kelab antarabangsa yang biasa (berlaku) dan pemain boleh buat pilihan sendiri. Wan Zack telah memilih untuk beraksi bersama TRW dan ini adalah perjalanan biasa bagi pemain profesional.

"Langkah ini tidak bermakna ia proses balik ke belakang," katanya yang mengakui hasrat 'meminang' Wan Zack Haikal dari kelab Jepun itu melalui proses rundingan agak lama.

  Annuar juga berkata pasukan Kelantan tidak akan memaksa Wan Zack untuk beraksi dengan Kelantan selagi beliau tidak pulih sepenuhnya sebaliknya akan memastikan pemain muda itu mendapat rawatan dan terapi terbaik untuk pulih sepenuhnya.

Selain Wan Zack Haikal, Brendan juga melalui proses unik selepas memperoleh taraf kerakyatan Malaysia dan didaftar semula selepas permohonan Kelantan untuk mendaftarkannya atas kuota pemain tempatan ditolak Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) pada Disember lepas manakala Fitri pula menyertai Kelantan setelah bersetuju menamatkan kontrak bersama ATM.

Annuar berkata pemilihan Brendan adalah berdasarkan prestasi memberangsangkan ketika mewakili pasukan Sydney FC yang muncul juara sebanyak dua kali Liga Australia pada 2011.

Manakala Fitri pula pernah dipinjamkan untuk beraksi bersama Kelantan pada saingan Piala Malaysia sebanyak enam kali dan juga penjaring terbanyak Liga Perdana 2011.

Sementara itu Rukyu FC dalam satu kenyataan berkata ia merupakan keputusan yang sangat sukar untuk membenarkan Wan Zack Haikal berpindah ke Malaysia kerana beliau merupakan pemain yang baik dan disukai Rukyu FC. 

"Kami telah mengkaji keadaan dan merasa bahawa kami perlu melakukannya demi masa depannya dan beliau perlu berada di persekitaran yang selesa untuk pulih dan kembali lebih kuat daripada apa yang telah kami kenali Wan Zack Haikal," kata kenyataan itu. 

Menurut kenyataan itu, yuran perpindahan pemain itu bukan yang paling tinggi diterima kelab tersebut. - Bernama
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment