kelantan fa |
Hasrat Kelantan untuk kekal di tangga teratas Liga Super tidak kesampaian apabila sekadar mengutip satu mata selepas seri 2-2 dengan Pahang di Stadium Sultan Muhamad Ke-IV, semalam. The Red Warriors (TRW) dipintas oleh pasukan jiran, Terengganu yang menang 1-0 ke atas Johor Darul Tazim. Beraksi di depan lebih 12, 000 penyokong setia, Kelantan membuka jaringan menerusi sepakan percuma kapten, Mohd. Badri Radzi yang gagal ditangkap kemas penjaga gol Pahang, Khairul Azhan Mohd. Khalid.
Tok Gajah bagaimanapun menyamakan kedudukan pada minit ke-12 menerusi Saiful Nizam Miswan yang bijak menyudahkan hantaran hasil sepakan penjuru. Bersambung babak kedua, Kelantan terus melakukan beberapa asakan bahaya menerusi Francis Forkey Doe dan Fakri Saarani, namun berjaya dipatahkan benteng pertahanan pasukan pelawat.
Pada minit ke-70 Kelantan dikejutkan dengan jaringan kedua Pahang menerusi Mohd. Faizol Hussain yang tenang menyudahkan hantaran Dickson Nwakame. Kelantan bagaimanapun tidak menunggu lama untuk menyamakan kedudukan apabila Khairul Izwan Rosli berjaya menjaringkan gol pada minit ke-80 menerusi rembatan kencang yang menuju tepat ke arah kanan pintu gol Pahang.
Dalam pada itu, di Stadium Negeri, Kuching menyaksikan Sarawak memanfaatkan kelebihan beraksi di laman sendiri untuk meraih kemenangan 3-1 ke atas LionsXII. Tiga gol Sarawak diperolehi hasil jaringan S. Chanthuru pada minit keenam dan ke-40, manakala satu lagi jaringan tuan rumah menerusi Mohamad Rashid Aya minit ke-75. Gol tunggal LionsXII dijaringkan Muhammad Nazrul Ahmad Nazari minit ke-35.
Di Stadium Perak, Ipoh, tuan rumah Perak tewas 0-2 kepada Sime Darby, yang tidak menghadapi masalah untuk menguasai perlawanan di tempat lawan. Pemain Sime Darby, Fazrul Hazli beraksi cemerlang pada perlawanan tersebut apabila berupaya menyumbang dua gol pada minit ke-16 dan ke-40.-utusan-
kredit : md zuki