Pertembungan dua gergasi Pantai Timur, Pahang dengan Kelantan dalam saingan Liga Super malam esok pasti panas.
nwakaeme |
Pahang selaku juara Piala Malaysia musim lalu tidak mahu reputasi mereka tercalar manakala Kelantan pula sedang berada di kemuncak prestasi ekoran kemenangan bergaya 2-0 ke atas kelab Hong Kong, South China pada aksi peringkat Kumpulan G kempen Piala AFC di Kota Bharu malam kelmarin. Bagi Pahang, misi mereka di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, Kota Bharu itu malam esok adalah untuk membawa pulang tiga mata penuh bagi mengukuhkan cengkaman mereka dalam carta liga.
Seperti biasa, misi Pahang untuk memburu kemenangan di Kota Bharu akan sekali lagi disandarkan kepada dua penyerang importnya, Matias Conto dan Dickson Nwakaeme. Jurulatih Pahang, Zainal Abidin Hassan berkata, beliau mahu melihat gandingan Conti dan Nwakaeme mempamerkan aksi terbaik apabila berdepan anak-anak buah Steve Darby itu nanti.
"Saya agak puas hati melihat Nwakaeme yang sudah mula mempamerkan aksi sebenarnya apabila membantu Pahang menundukkan ATM 4-1 Sabtu lalu. "Semua orang tahu Nwakaeme mempunyai kemahiran luar biasa sejak bersama Kelantan musim lalu dan dia berkemampuan merobek gawang lawan," katanya.
Zainal Abidin memberitahu, biarpun Nwakaeme mengalami sedikit kecederaan namun ia dijangka pulih sepenuhnya menjelang aksi di Kota Bharu nanti. Menurutnya, beliau bagaimanapun belum membuat keputusan sama ada menurunkan gandingan Nwakaeme dan Conti dalam kesebelasan utama atau sebaliknya.
"Saya akan memantau prestasi mereka berdua setiap masa dan kami berharap agar mereka dapat mempamerkan mutu permainan yang lebih mantap," ujarnya. Beliau berkata, Tok Gajah akan menggunakan khidmat Mohd. Faizol Husin di bahagian tengah apabila Mohd. Hafiz Kamal tidak dapat diturunkan ekoran digantung satu perlawanan.
"Saya tidak bimbang biarpun tanpa kelibat Mohd. Hafiz kerana Mohd. Faizol telah membuktikan sentuhannya juga berbisa apabila turut menyumbang satu gol ketika menundukkan ATM minggu lalu," jelasnya.
Zainal berkata, semua pemain harus bermain dengan baik dan tidak boleh leka kerana Kelantan mempunyai ramai pemain yang mampu menjaringkan gol. Tambahnya, jentera pertahanan perlu berfungsi dengan baik untuk mengekang asakan tuan rumah dan selain memastikan Tok Gajah menguasai posisi tengah untuk mencorak serangan ke kubu lawan.
"Perlawanan ini amat dinantikan oleh kedua-dua pasukan apatah lagi penyokong Kelantan menunggu kehadiran Nwakaeme yang telah membantu mereka meraih Piala FA musim lalu. "Saya yakin kami mampu membawa pulang tiga mata untuk terus mendaki carta Liga Super musim ini," jelas Zainal penuh yakin.