Taufek Abdul Razak |
Tiada lagi penangguhan kes, itu jaminan yang diberikan oleh Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Datuk Taufek Abdul Razak terhadap kes insiden terowong dan penggunaan kata-kata perkauman oleh dua pemain Johor Darul Tazim (JDT), Luciano Figueroa dan Pablo Aimar terhadap pemain Pahang, Damion Stewart.
Perbicaraan bagi kedua-dua kes ini akan didengar esok setelah sekian lama tertangguh sehingga mengundang pelbagai spekulasi dan Taufek mengakui beliau berharap ia dapat diselesaikan secepat mungkin.
Walaupun enggan mengulas lebih lanjut mengenai insiden terowong namun menurut Taufek, kes yang melibatkan dua pemain dari Argentina, Figueroa dan Aimar yang tertangguh sejak 21 Mac lalu kini boleh dibicarakan kerana jurubahasa kepada kedua-dua pemain itu boleh menghadirkan diri esok.
"Maaf, mengenai kes di Larkin, saya tidak boleh bercakap pada masa sekarang kerana kes ini memang berprofil tinggi dan tunggu pada hari Selasa nanti, saya akan bercakap dengan pihak media.
"Kes ini memang kalau boleh kami hendak putuskan pada mesyuarat terakhir (21 Mac) namun jurubahasa yang sepatutnya hadir tidak dapat datang kerana ada urusan tidak dapat dielakkan.
"Namun, Selasa ini (esok) pendengaran kes ini pasti akan diperdengarkan selepas dia (jurubahasa) mengesahkan kehadirannya pada kali ini bagi mendapatkan keterangan daripada Aimar dan Figueroa.
"Kita akan ketahui juga keputusan pada hari yang sama dan bentuk hukuman yang akan dikenakan sama ada penggantungan perlawanan atau denda.
"Dalam masa yang sama kes pembakaran suar oleh penyokong Sarawak semasa pertemuan dengan ATM (18 Januari) juga akan didengar," katanya ketika dihubungi semalam.
Esok bermakna genap dua bulan kes kekecohan di dalam terowong menuju bilik persalinan di Stadium Tan Sri Haji Hassan Yunos, Larkin di Johor Bahru apabila pemain import, Evaldo Goncalves dan jurulatih kecergasan T-Team, Stefano Impagliazzo mendakwa diserang oleh pemimpin tertinggi JDT.
Pelbagai alasan penangguhan telah diberikan oleh FAM seperti perlu memanggil ramai saksi dan mahu menyelesaikan kes-kes lain terlebih dahulu sebelum surat pertuduhan kepada Persatuan Bolasepak Johor (PBNJ) diserahkan pada 4 Mac lalu sebelum mereka membalasnya pada 10 Mac.
Dalam masa sama, Taufek mengesahkan yang dia langsung tidak mempunyai perancangan untuk meletakkan jawatan sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tatatertib pada masa terdekat namun menyuarakan yang dia tidak mahu bertanding untuk mana-mana jawatan Exco dalam pemilihan Kongres FAM yang akan datang sekali pun mendapat pencalonan.
"Saya tidak pernah berniat melepaskan jawatan saya selaku Pengerusi Tatatertib dan cakap-cakap saya ada menghantar surat peletakan jawatan, itu cerita lama.
"Mengenai Kongres FAM yang akan datang, saya mendapat tahu ada dapat pencalonan tetapi saya mahu tegaskan di sini yang saya belum bersedia hendak bertanding, masih banyak lagi perkara yang saya perlu belajar jika mahu menjadi salah seorang pemimpin kanan di FAM," katanya.-utusan