Home » , » Pahang teraju Liga Super

Pahang teraju Liga Super


Liga Super 2014
Pahang melakar detik manis di hadapan penyokong-penyokong sendiri selepas menewaskan Perak 2-0 pada aksi Liga Super di Stadium Darul Makmur malam tadi.

Selepas mengumpul 19 mata selepas 10 perlawanan, skuad Tok Gajah yang mencatat kemenangan ketiga berturut-turut berjaya memintas kedudukan Terengganu di persada liga setelah skuad Penyu sekadar seri 1-1 ketika menentang Kelantan di Kuala Terengganu.

Gol-gol kemenangan Pahang diperolehi melalui penyerang import, Dickson Nwakaeme dan pemain sayap lincah, R.Gopinathan.

Sebaik wisel mula ditiup, Pahang terus mengasak kubu pasukan lawan untuk mencari gol awal melalui gerakan jentera tengah yang diterajui oleh Mohd. Hafiz Kamal dan Azidan Sarudin.

Pasukan tuan rumah hampir memecah kebuntuan gol pada minit keempat dan keenam permainan melalui sepakan percuma Hafiz dan cubaan Nwakaeme namun ketangkasan penjaga gol Perak, Razi Effendi Suhit berjaya menafikan cubaan kedua-dua pemain tersebut.

Selang tiga minit kemudian, Nwakaeme berjaya mendapat bola yang ditahan oleh pemain pertahanan Perak selepas cubaan Azidan dan terus merembat deras melangkaui jangkauan Razi untuk gol pembukaan dan kelima peribadinya.

Perlawanan menjadi lebih rancak apabila skud Tok Gajah terus ghairah mencari gol melalui beberapa cubaan Nwakaeme dan Matias Conti yang memanfaatkan permainan lemah yang ditampilkan oleh Perak.

Gol kedua Pahang menjelma menerusi Gopinathan yang berjaya menempatkan diri dalam senarai penjaring gol liga apabila merembat deras menewaskan Razi pada minit ke-35 selepas penjaga gol pasukan pelawat itu menepis bola yang disepak oleh Nwakaeme.

Pada aksi separuh masa kedua perlawanan, Perak cuba bangkit untuk mencari gol penyamaan dengan melakukan serangan bertubi-tubi menerusi rangkaian pemain import mereka, Eliel Da Cruz Guardano dan Kyaw Zayar Win namun gagal menewaskan gawang gol pasukan tuan rumah yang dikawal kemas oleh Mohd. Khairul Azhan Khalid.

Hujan renyai-renyai yang mula turun pada minit ke-71 mempengaruhi corak permainan kedua-dua pasukan apabila masing-masing gagal mencari gol kerana bola hanya sekadar berlegar di kawasan tengah padang tanpa pergerakan yang berbahaya.

Zainal melakukan tiga pertukaran dengan membawa masuk Mohd. Azamuddin Mohd. Akil, Mohd. Faizol Hussain dan Zaeshan Rehman namun masih gagal untuk menambah jumlah jaringan.-kosmo
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment