Pemain skuad Piala Presiden Kelantan musim 2013 pada majlis penyampaian bonus kejuaraan, semalam. |
Ganjaran sebanyak RM44,000 diagihkan sama rata kepada semua 35 pemain dan sembilan pegawai pasukan berkenaan, berikutan kejayaan mereka merangkul kejuaraan Piala Presiden pada musim lalu.
Pemangku Presiden Kafa, Datuk Seri Afandi Hamzah berkata, pemberian bonus tersebut merupakan sebahagian daripada hadiah kemenangan RM100,000 oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) kepada Kelantan di atas pencapaian tersebut.
“Baki jumlah bonus ini kita akan tentukan (berikan) apabila mendapat tarikhnya nanti. Pemberian insentif merupakan penghargaan daripada pihak Kafa kepada skuad Piala Presiden di atas kejayaan muncul juara pertandingan tersebut.
“Kita berharap ganjaran ini dapat melonjakkan semangat kepada semua pemain bagi meneruskan perjuangan Kelantan untuk memberikan aksi terbaik sekali gus mengekalkan kejuaraan pada musim ini.
Beliau berkata demikian pada sidang media Majlis Penyampaian Bonus Kemenangan Menjuarai Piala Presiden Musim 2013 di Kafe The Red Warriors Station, semalam.
Hadir sama Naib Presiden Kafa, Datuk Ismail Md Noor; Setiausaha Agung, Azman Ibrahim; Pengurus Pasukan Piala Presiden, Mohamad Yusri Ismail serta barisan pegawai dan pemain skuad berkenaan.
Pada perlawanan akhir musim lalu, Kelantan yang dibimbing jurulatih berpengalaman, Sideek Samsudin menewaskan penyandang juara, Perak 2-1 di Kota Bharu sekali gus mengulangi pencapaian mereka pernah bergelar juara musim 2011.
Dalam pada itu, Afandi memberitahu, salah seorang produk daripada skuad Piala Presiden Kelantan, Mohamad Qayyum Marjoni Sabil kini menyarung jersi Harimau Muda A dalam Liga Perdana Kebangsaan (NPL) Queensland, Australia ketika ini.
“Ini merupakan satu pencapaian membanggakan buat Kelantan kerana dapat mengetengahkan pemain berbakat untuk beraksi dengan skuad kebangsaan. Saya berharap pemilihan Mohammad Qayyum Marjoni dapat diikuti pemain-pemain lain daripada pasukan ini,” katanya.-sinar-