Pengendali Kelantan, Steve Darby mengakui, beliau terlalu kecewa dengan kekalahan yang dialami The Red Warriors kepada Johor Darul Tazim (JDT) di Kota Bharu kelmarin, sambil menyifatkan ia adalah tamparan hebat buat dirinya serta pasukan.
Lebih mengecewakan jurulatih kelahiran Liverpool, England itu, antara faktor utama yang menyumbang kepada kekalahan 1-2 pasukannya adalah kesilapan mudah yang dilakukan pemain.
Akibatnya, mereka dihukum dengan kekalahan kedua berturut-turut dalam saingan Liga Super, biarpun menguasai permainan dan mempunyai banyak peluang untuk mencipta jaringan.
Darby juga tidak menolak, faktor keletihan kerana terpaksa mengharungi jadual padat turut menyumbang kepada kekalahan Kelantan. Ini adalah kekalahan keempat pasukan itu dalam saingan Liga Super musim ini, sekali gus meletakkan mereka di tangga keenam, tiga mata di belakang pendahulu, Terengganu.
Saya akui jadual perlawanan yang padat memberi kesan kepada kami, di mana pemain amat keletihan. Secara tidak langsung ia turut menjejaskan sedikit tumpuan kami.
Dalam tempoh 42 hari, The Red Warriors terpaksa melalui 14 perlawanan berbanding lawan sembilan. Dengan barisan pemain yang ada ia memberi kesukaran kepada kami untuk menghadapinya," kata Darby.
Kelantan yang sebelum ini tewas 1-0 kepada Selangor dalam aksi terakhir Liga Super, Sabtu lalu, turut mengalami kekalahan 2-3 kepada wakil Vietnam, Vissai Ninh Binh pada perlawanan Piala AFC, yang menyaksikan pasukan itu beraksi dengan sembilan pemain pada 18 Mac lalu.
Pada perlawanan kelmarin, The Red Warriors yang mempamer aksi bertenaga berjaya membuka jaringan menerusi Mohammad Ghaddar pada minit ke-17, namun penyerang kebangsaan, Amri Yahyah berjaya menyamakan kedudukan 1-1 pada minit ke-33.
Ketika perlawanan seolah-olah akan berakhir dengan seri, pemain gantian, Fazli Mazlan yang masuk menggantikan Amirul Hadi Zainal meledak gol kemenangan JDT pada waktu kecederaan.
Kelantan kini bakal berdepan tugas rumit apabila pendahulu liga, Terengganu adalah lawan akan menanti, Sabtu ini.-utusan