Trw vs Jdt |
Faktor keletihan kerana terpaksa mengharungi jadual perlawanan yang padat menjadi faktor kekalahan 1-2 Kelantan ke atas Johor Darul Takzim (Johor DT) dalam aksi Liga Super di Stadium Sultan Muhammad IV, Kota Bharu malam kelmarin.
Pengendalinya, Steve Darby berkata, masalah tersebut memberikan kesukaran kepadanya ditambah pula dengan masalah kekurangan pemain yang berkualiti, sekali gus menyukarkannya untuk menyediakan ramuan terbaik buat The Red Warriors bagi menghadapi perlawanan tersebut.
‘Saya akui jadual perlawanan yang padat memberikan kesan kepada pasukan kami di mana pemain mengalami keletihan, secara tidak langsung ia menjejaskan sedikit tumpuan kami.
“Sepanjang tempoh 42 hari, The Red Warriors terpaksa melalui 14 perlawanan berbanding lawan (Johor DT) yang hanya beraksi sembilan. Dengan barisan pemain yang ada, ia memberikan kesukaran kepada kami untuk menghadapinya,” katanya.
Tambahnya, bagaimanapun dia tidak mahu menjadikan perkara tersebut sebagai alasan sebaliknya terus memberi fokus dalam perlawanan selepas ini.
Pada perlawanan tersebut The Red Warriors yang mempamerkan aksi bertenaga berjaya membuka tirai jaringan menerusi Mohammad Ghaddar pada minit ke-17 sebelum Mohd. Amri Yahyah meledak gol penyamaan buat Johor DT pada minit ke-33.
Ketika perlawanan seolah-olah berakhir dengan keputusan seri, pemain gantian Fazli Mazlan yang masuk menggantikan Amirul Hadi Zainal meledak gol kemenangan Johor DT, sekali gus memastikan pasukannya mencuri tiga mata dari Kota Bharu.
Keputusan tersebut menyaksikan The Red Warriors terus dirundung malang, tewas buat kali kedua berturut-turut selepas tumbang 0-1 ditangan Selangor dalam aksi terdahulu.
Darby tanpa berselindung mengakui kecewa dengan kekalahan tersebut dan ia memberikan satu tamparan hebat bukan sahaja pada pasukan malah buat dirinya.
Katanya, beberapa kesilapan mudah yang dilakukan oleh barisan pemainnya pada perlawanan tersebut menyebabkan mereka dihukum dengan kekalahan itu.
Dalam pada itu, Darby menghamburkan pujian kepada pemain baharunya Mohd. Fitrie Omar yang disifatkan telah memberikan aksi terbaik dalam perlawanan tersebut.
Ujarnya, walaupun kali pertama beraksi bersama The Red Warriors pemain tersebut berjaya menjalankan tugasnya dengan sempurna.-kosmo