Kelicikan penyerang berbisa Selangor, Paulo Rangel harus diberikan perhatian oleh barisan pertahanan Kelantan menjelang pertemuan kedua-dua pasukan dalam saingan Liga Super di Stadium Shah Alam esok.
Penjaga gol utama Kelantan, Khairul Fahmi Che Mat berkata, kelibat penyerang kelahiran Brazil itu perlu diberikan perhatian jika The Red Warriors tidak mahu berputih mata pada perlawanan itu nanti.
“Rangel seorang penyerang cukup bahaya terutama di dalam kawasan penalti, jika diberikan ruang dan peluang ia mampu mendatangkan bahaya kepada pasukan.
“Harapan saya agar rakan-rakan sepasukan di bahagian pertahanan dapat memberikan persembahan terbaik dalam perlawanan itu bagi mematahkan setiap asakan pihak lawan,” katanya semalam.
Khairul Fahmi atau Apek berkata, walaupun barisan pemain pertahanan Kelantan sering bertukar, namun ia bukan satu masalah kerana mereka sudah masak dengan corak permainan masing-masing.
Menurut Apek, misi Kelantan pada perlawanan itu nanti ialah memberikan persembahan terbaik dalam usaha membawa pulang tiga mata, sekali gus mengukuhkan kedudukan dalam carta Liga Super.
“Saya yakin dan percaya jurulatih mempunyai perancangan terbaik bagi mengatasi masalah ini. Bertemu dengan Selangor bukan satu tugas mudah, ditambah beraksi di tempat lawan.
“Namun, saya dan rakan-rakan sudah bersedia untuk menghadapi perlawanan tersebut. Kami akan memberikan aksi terbaik dalam usaha meraih tiga mata,” ujarnya.
Apek berkata, Kelantan mempunyai sedikit kelebihan ke atas Selangor memandangkan skuad Gergasi Merah itu agak keletihan selepas baru pulang dari Hanoi, Vietnam.
“Peluang tersebut perlu dimanfaatkan sebaik mungkin tetapi kami tidak boleh terlalu selesa dengan kelebihan itu, jelasnya.-kosmo-