Home » » Aksi penentu arah

Aksi penentu arah

Wan Zaharulnizam (kanan) antara prospek masa depan TRW.
JUARA Treble 2012, Kelantan dan Juara Piala Malaysia 7 kali, Perak terus bergelut dengan prestasi semasa apabila dihimpit pelbagai masalah hingga mempamerkan aksi kurang meyakinkan selepas tamat pusingan pertama.

Pahlawan Merah yang sebelum ini digeruni lawan setiap kali beraksi bukanlah seperti dahulu apabila hanya menduduki tangga kelima dengan mengumpul 17 mata hasil lima kemenangan, empat kalah dan dua seri.

Namun nasib Perak lebih derita apabila berada di tangga tercorot Liga Super dengan hanya mengumpul lapan mata hasil tujuh kekalahan , dua seri dan dua kemenangan.

Memasuki pusingan kedua malam ini, sudah pasti pengendali Kelantan, Steve Darby dan Perak, Abu Bakar Fadzim (Burn) berada dalam situasi tertekan kerana hanya tiga mata mampu memulihkan reputasi, ditambah lagi dengan desakan penyokong setia yang mahukan perubahan segera dilakukan.

BINA NAMA

Darby bukanlah nama asing dalam dunia bola sepak tempatan, pernah membimbing Johor (1998-200) dan Perak (2005-2008), namun percaturan taktikal jurulatih kelahiran England ini bersama Kelantan dilihat kurang sesuai dengan kemampuan pemain The Red Warriors (TRW) sedia ada.

Memiliki kapten Marvel, Mohd Badhri Radzi yang dinobatkan selaku Pemain Paling Bernilai 2013, tenaga muda baharu, Wan Zaharul Nizam, Ahmad Fakri Saarani selain kehadiran semula penyerang prolifik, Mohd Ghaddar perlu digunakan sepenuhnya.

Memang tidak dinafikan, TRW kehilangan hampir 80 peratus tonggak utama yang berhijrah namun sampai bilakah alasan tersebut perlu dijelmakan setiap kali pasukan kecundang di laman sendiri mahupun di tempat lawan.
Kemasukan beberapa bintang masa depan, Brendan Gan, Mohd Fitri Omar dan Wan Zack Haikal pastinya sudah cukup menutupi beberapa kelemahan yang sering diutarakan sebelum ini walaupun tidak sepenuhnya.

ENGGAN MENGALAH

Beraksi cemerlang di awal musim dengan penampilan bakat-bakat baharu, The Bos Gaurus terus hanyut apabila deretan kekalahan membayangi mereka setiap kali beraksi di luar mahupun di laman sendiri.

Tindakan Iman Ghaddar yang enggan beraksi walaupun disenaraikan bermain nyata menambah duka Perak yang mengharapkan kemenangan ketika aksi melayan kunjungan Selangor sebagi suntikan moral serta semangat.

Menyedari semangat pemain dan penyokong serta pengurusan dikhianati, penamatan serta merta kontrak Iman Ghaddar dibuat yang mencatatkan rekod pemain import paling awal ditamatkan kontrak tanpa beraksi.

Bertandang ke Selangor untuk aksi sulung pusingan kedua malam ini, The Bos Gaurus menyandarkan harapan kepada import baharu, Milan Purovic dan Abdulafees Abdulsalam membawa cabaran memastikan tidak terus ketinggalan.

Purovic dari Montenegro pernah mewakili Red Star Belgrade pada 2005 hingga 2007 dan kemudian Sporting Lisbon manakala Abdulafees dari Nigeria sebelum ini beraksi dengan kelab Hidd, Bahrain pernah bermain untuk pasukan Shahzan Muda, Pahang bagi musim 2006-2007.

BEZA TEKANAN

Darby dan Burn pastinya merasai bahang perlawanan malam ini apabila bertandang di tempat lawan memburu kemenangan. Mungkin tekanan buat Darby sedikit kurang apabila berdepan ATM di Stadium Selayang berbanding Burn yang terpaksa berdepan dengan sokongan padu Gergasi Merah Kuning di laman mereka sendiri.

Pastinya keputusan malam ini memberikan makna berbeza buat mereka berdua dan mungkinkah ini aksi terakhir selaku jurulatih atau terus kekal. Sama-sama kita nantikan kesudahannya.

www.sinarharian.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment