Home » , » Annuar: Ada rundingan tertutup dengan Tagoe

Annuar: Ada rundingan tertutup dengan Tagoe

PERSATUAN Bola Sepak Kelantan (Kafa) mengesahkan berunding secara tertutup dengan bekas pemain kebangsaan Ghana, Prince Tagoe bagi mengikat kontrak beraksi bersama The Red Warriors (TRW). 

Namun Penasihat Kafa, Tan Sri Annuar Musa berkata, setakat ini pihaknya masih belum membuat sebarang keputusan untuk mengikat pemain yang pernah bermain dalam kempen Piala Dunia 2010 itu.

“Memang saya akui, ada berlaku pertemuan antara Tagoe dengan saya dan dia sendiri yang datang berjumpa dan menawarkan diri untuk bermain dengan Kelantan.

“Dalam pertemuan itu, Tagoe menyatakan hasratnya untuk berpindah ke kelab lain memandangkan sebelum ini dia mengalami masalah (kelab yang diwakilinya itu) dan dia bersedia untuk bermain dengan TRW,” katanya.

Annuar berkata, keputusan sama ada mengambil Tagoe hanya diputuskan pada 15 April ini, selepas dua perlawanan Liga Super membabitkan pasukan dan akan diketahui sebelum pintu pendaftaran kedua pemain import Liga Malaysia (Liga-M) berakhir 23 April ini.

“Kita tidak boleh buat keputusan terburu-buru memandangkan kita terikat dengan kontrak, soal kewangan dan isu saman menyaman dan nilai betul-betul soal yang perlu juga dilihat,” katanya.

Sementara itu, Annuar berharap isu pertukaran jurulatih dan pemain itu tidak perlu diperbesarkan kerana ia merupakan perkara biasa yang berlaku dalam arena sukan bola sepak.

Sebelum ini, penyokong TRW mendesak agar penyerang Liberia, Francis Forkey Doe disingkirkan ekoran prestasinya tidak memberangsangkan dalam pasukan selain mengambil tindakan sama terhadap jurulatihnya Steve Darby.

Dalam pada itu, dalam status Facebooknya semalam, Annuar mengesahkan bekas  pemain Ryukyu FC, Wan Zack Haikal dan seorang lagi akan didaftarkan minggu depan sekali gus menutup spekulasi status pemain kebangsaan itu di TRW.

www.sinarharian.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment