Home » , » Darby tuntut aksi lebih cemerlang

Darby tuntut aksi lebih cemerlang

Kekentalan Obinna Nwaneri (kanan) dan Mohd Farisham Ismail dibenteng pertahanan mampu menyekat hajat Sime Darby FC untuk menewaskan Kelantan pada pertemuan kedua-dua pasukan di Selayang, malam ini.
PENGENDALI The Red Warriors, Steve Darby menuntut barisan pemainnya mempamerkan aksi lebih cemerlang apabila berdepan Sime Darby FC pada saingan Liga Super di Stadium Majlis Perbandaran Selayang, malam ini.

Darby berkata, persembahan memberangsangkan anak buahnya ketika menundukkan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 2-0 tempoh hari perlu diteruskan bagi memastikan misi meraih enam mata dalam tempoh empat hari dicapai di gelanggang lawan.

“Momentum cemerlang itu perlu dikekalkan jika tidak mahu berputih mata dalam perlawanan malam esok (ini). Saya fikir sekiranya pemain mampu melakukannya, tidak ada sebab untuk kami tidak boleh membawa pulang tiga mata ke Kota Bharu.

“Benteng pertahanan cukup berdisiplin ketika bertemu ATM, malah pemain kami menampilkan corak permainan berbeza pada babak kedua. Ini merupakan salah satu faktor mengapa kami berjaya mengatasi ATM, dan saya berharap kami boleh melakukan ke atas Sime Darby
FC pula,” katanya kepada Sinar Harian, semalam.

Menurutnya, kemenangan ke atas skuad kendalian Ismail Zakaria itu dilihat cukup penting bagi memastikan Kelantan tidak tercicir mata sebaik mengharungi pusingan kedua, selain mengukuhkan kedudukan mereka di persada liga.

Sementara itu, pengendali kelahiran England itu memberitahu, beliau akan mengekalkan kesebelasan pemain yang sama pada pertemuan menentang pasukan berstatus kelab itu meskipun kehilangan dua tonggak import, Mohamed Shawky Aly dan Mohamad Ghaddar.

“Agak malang buat Mohamed Shawky, dia terpaksa direhatkan untuk perlawanan ini dan bertemu Sarawak di Kota Bharu, Jumaat ini. Mohamad Ghaddar pula dihantar ke Majlis Sukan Negara untuk menjalani imbasan terhadap kecederaan dialaminya.

“Ahmad Fakri (Saarani) dan Ahmad Shakir (Md Ali) juga tidak berada dalam perancangan untuk disenaraikan malam esok (ini). Tetapi saya harap dapat menggunakan khidmat mereka untuk perlawanan dengan Sarawak dan South China dalam kempen Piala Konfederasi
Bola Sepak Asia, 22 April nanti,” katanya.

Dalam pada itu, ditanya kemungkinan Sime Darby FC mampu melakukan kejutan ke atas Kelantan sebagai mana dibuktikan pasukan berkenaan menewaskan Lions XII 1-0 baru-baru ini, Darby jelas enggan mengambil peduli mengenai kemenangan skuad Giant Killer itu.

“Dalam bola sepak, mana-mana pasukan boleh menewaskan pasukan lain, itu sesuatu yang tidak mustahil.

“Saya tidak mahu fikirkan perkara itu. Saya dengar mereka membawa masuk pemain import baharu (Mateo Roskam) tetapi itu tidak menjadi masalah buat kami,” katanya.

www.sinarharian.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment