Badri Radzi |
Kota Bharu: Ketua jurulatih Kelantan, Steve Darby tetap yakin skuad bimbingannya mampu melangkah ke pusingan kedua saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) walaupun The Red Warriors (TRW) dibelasah 4-0 oleh kelab Vietnam, Vissai Ninh Binh di Stadium Ninh Binh kelmarin.
Pengendali kelahiran England itu berkata, barisan pemainnya perlu melupakan kekalahan itu dan menumpukan sepenuh perhatian kepada perlawanan lebih penting menentang Angkatan Tentera Malaysia (ATM) pada aksi Liga Super, di Stadium Sultan Muhammad IV, esok.
Katanya, dia berharap enam pemain yang tidak bersama skuad TRW ke Vietnam kelmarin termasuk kapten, Mohd Badhri Radzi, Ahmad Fakri Saarani, Khairul Fahmi Che Mat, Brendan Gan, Mohd Fitri Omar dan Mohd Amar Rohidan dapat memberi aksi terbaik sekali gus membantu pasukan mendapatkan keputusan positif dalam perlawanan dengan The Gladiators itu.
Perjalanan memenatkan
“Vissai Ninh Binh adalah pasukan yang kuat, malah mereka mempunyai rehat yang cukup berbanding pemain saya. Perkara itu yang membolehkan mereka menang, tapi Kelantan masih berpeluang melangkah ke pusingan kedua Piala AFC.
“Fokus utama Kelantan kini pada perlawanan menentang ATM, tapi pemain terpaksa menghadapi perjalanan jauh yang sangat memenatkan.
“Harapan pasukan kini terletak kepada enam pemain yang tidak bersama TRW ke Vietnam. Apa yang saya harapkan semua pemain itu mampu membantu pasukan mencipta kemenangan ke atas ATM nanti,” katanya, semalam.
Kekalahan kepada Vissai Ninh Binh kelmarin menyaksikan harapan tipis kini dimiliki TRW untuk ke pusingan kedua saingan Piala AFC musim ini selepas hanya mencatat satu kemenangan dari empat perlawanan peringkat kumpulan G.
Kekalahan itu juga terus memberi tekanan kepada Darby selepas penyokong TRW mendesak Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) menggantikannya dengan jurulatih yang lebih baik.
www.bharian.com.mya