Steve Darby |
PEMINAT serta penyokong setia The Red Warriors sudah hilang sabar dengan percaturan pengendali Kelantan, Steve Darby.
‘Api kemarahan’ mereka terhadap Darby semakin marak selepas Kelantan tewas 0-4 kepada wakil Vietnam, Vissai Ninh Binh dalam aksi Kumpulan G Piala AFC di Stadium Ninh Binh, Vietnam kelmarin.
Rata-rata penyokong Kelantan berpendapat Darby gagal melaksanakan tugasnya dengan baik sehingga menjejaskan reputasi The Red Warriors sebagai antara pasukan yang digeruni dalam saingan Liga Malaysia.
Justeru, mereka mendesak Darby melepaskan jawatan sebagai pengendali Kelantan kerana menyifatkan kekalahan kepada Vissai Ninh Binh mencemarkan maruah bola sepak negara.
Bagi Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRW KB), sudah tiba masanya Darby bertanggungjawab ekoran prestasi hambar Kelantan dengan melepaskan jawatan secara terhormat.
Presiden TRW KB, Mohd. Zainy Mohd. Zain berkata, Darby sepatutnya tidak mengambil mudah saingan Piala AFC kerana ia melibatkan imej pasukan dan bola sepak di negara ini.
Menurut Zainy, Darby seharusnya mempertaruhkan barisan terbaik dalam perlawanan tersebut bagi memberikan cabaran kepada pihak lawan dan membuktikan Malaysia tidak ketandusan pasukan hebat untuk bertanding di peringkat Asia Tenggara.
“Saya cukup kecewa dengan percaturan Darby dalam perlawanan itu, pemain dilihat seolah-olah hilang punca dan pening dengan taktikal yang diterapkan beliau.
“Pada saya pemain telah memberikan persembahan terbaik, namun dimusnahkan oleh kesilapan dalam membuat percaturan,” katanya ketika dihubungi Kosmo! semalam.
Zainy memberitahu, secara jujur penyokong Kelantan sebenarnya sudah ‘loya’ dengan pelbagai alasan yang diberikan Darby.
“Jika bagi tumpuan kepada saingan Liga Super, kenapa kita berada tangga keenam dalam carta liga?
“Apa yang pasti, satu mata daripada lima perlawanan adalah pencapaian terbaik Darby,” tegasnya.
www.kosmo.com.my