Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRW KB) |
KOTA BHARU - Penyokong setia Kelantan sudah hilang sabar dengan percaturan Steve Darby selepas pasukan itu dibelasah 4-0 oleh kelab Vietnam, XM Vissai Ninh Binh dalam aksi Kumpulan G Piala AFC 2014 di Stadium Ninh Binh kelmarin.
Kelab Penyokong The Red Warriors Kota Bharu (TRW KB) menganggap percaturan Darby yang dilihat bersikap melepaskan batok di tangga itu telah mencemarkan imej The Red Warriors sebagai antara pasukan yang digeruni dalam pertandingan berkenaan.
Sehubungan itu, mereka mendesak Darby melepaskan jawatan sebagai pengendali Kelantan dan menyifatkan kekalahan tersebut mencemarkan maruah bola sepak negara.
Kelab penyokong itu menegaskan, Darby mesti bertanggungjawab di atas prestasi hambar Kelantan dengan melepaskan jawatan tersebut secara terhormat.
Presiden TRW KB, Mohd. Zainy Mohd. Zain berkata, Darby sepatutnya tidak mengambil mudah pertandingan Piala AFC kerana melibatkan imej pasukan dan bola sepak di negara ini.
Menurutnya, dia seharusnya mempertaruhkan barisan terbaik dalam perlawanan tersebut bagi memberikan cabaran kepada pihak lawan dan membuktikan Malaysia tidak ketandusan pasukan hebat untuk bertanding di peringkat Asia.
Saya cukup kecewa dengan percaturan Darby dalam perlawanan ini, pemain dilihat seolah-olah hilang punca dan pening dengan taktikal yang diterapkan beliau.
Pada saya pemain telah memberikan persembahan terbaik, namun dimusnahkan oleh kesilapan dalam membuat percaturan sedangkan kita mempunyai ramai pemain yang mampu bermain dengan baik tetapi tidak diberikan peluang," katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini hari ini.
Mohd. Zainy memberitahu, secara jujurnya penyokong Kelantan sebenarnya sudah bosan dengan pelbagai alasan yang diberikan oleh Darby.
Katanya, alasan memberikan tumpuan kepada saingan Liga Super, jadual liga yang padat dan masalah kekurangan pemain sudah tidak relevan.
Jika beri tumpuan kepada saingan Liga Super, kenapa kita berada di anak tangga keenam dalam carta liga. Adakah ini hasil yang Kelantan perolehi selepas berbuat demikian.
Apa yang pasti satu mata daripada lima perlawanan adalah pencapaian terbaik Darby dan dia wajar diberikan penghargaan dan pujian," sindirnya.
www.utusan.com.my