Steve Darby |
KOTA BHARU - Walaupun dimalukan dengan kekalahan besar 4-0 kepada wakil Vietnam, XM Vissai Ninh Binh dalam aksi Kumpulan G, Piala AFC di Stadium Ninh Binh kelmarin namun pengendali Kelantan, Steve Darby tetap optimis pasukannya masih mempunyai harapan layak ke pusingan kedua.
Dalam masa sama Darby turut menerima kekalahan tersebut dengan hati terbuka dan yakin barisan pemainnya mampu bangkit untuk meneruskan perjuangan.
Kelantan masih ada peluang untuk ke pusingan seterusnya, namun keutamaan kami sekarang ialah menentang ATM dalam aksi Liga Super di Kota Bharu Sabtu ini," katanya kepada Utusan Malaysia di sini semalam.
Darby memberitahu, dia tidak mempunyai banyak pilihan selain menang dalam baki dua perlawanan iaitu menentang Yangon United FC dan South China.
Tambahnya, pada masa sama dia berharap Vissai dapat mengalahkan Yangon United dalam perlawanan terakhir peringkat kumpulan nanti.
The Red Warrior yang menyertai Piala AFC sejak dua tahun lalu tidak pernah gagal melepasi peringkat kumpulan.
Pada musim 2012, Kelantan mara ke suku akhir namun tewas menerusi agregat 5-2 kepada Al-Arbil dari Iraq dan kecundang 2-0 kepada Kitchee FC (Hong Kong) pada pusingan kedua tahun lalu.
Darby memberitahu, Vissai yang dibimbing oleh Nguyen Van Sy sememangnya berhak menewaskan Kelantan dengan margin jaringan yang besar dalam perlawanan kelmarin.
Katanya, mereka merupakan pasukan yang bagus dan mempunyai pemain berbakat serta berpengalaman luas di peringkat antarabangsa.
Lagipun Persekutuan Bola Sepak Vietnam (VFF) memberikan masa rehat yang cukup untuk pasukan itu beraksi dalam pertandingan ini," katanya.
www.utusan.com.my