KOTA BHARU - Kemenangan 2-0 Kelantan ke atas ATM di Stadium Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kelmarin meletakkan pasukan berkenaan di landasan terbaik dalam usaha mengembalikan semula reputasi selepas mempamerkan aksi hambar pada pusingan pertama Liga Super sebelum ini.
Pemain sayap lincah The Red Warriors, Wan Zaharul Nizam Wan Zakaria berkata, kemenangan itu memberi semangat kepada dia dan rakan sepasukan untuk kembali memberikan saingan dalam perebutan liga.
Kemenangan ke atas ATM amat berharga kepada Kelantan selepas kami bermula agak sederhana pada pusingan pertama.
Saya harap rakan-rakan sepasukan dapat terus memberikan aksi terbaik dalam perlawanan selepas ini bagi memastikan Kelantan berada di kedudukan terbaik," katanya di sini semalam.
Wan Zaharul memberitahu selain faktor penyokong, semangat berpasukan dan disiplin tinggi yang dipamerkan oleh pemain Kelantan menjadi kunci utama kejayaan The Red Warriors membenam ATM.
Katanya, rakan-rakan sepasukannya beraksi bermati-matian bagi memastikan tiga mata menjadi milik mereka pada perlawanan tersebut.
Berdepan ATM bukan tugas mudah ditambah pula beraksi di gelanggang keramat mereka. Alhamdulillah kami semua berjaya melaksanakan tugas dengan baik.
Saya berterima kasih kepada rakan sepasukan terutama Farisham Ismail yang berjaya merantai kemas pergerakan penyerang import berbisa ATM, Marlon Alex James sepanjang perlawanan tersebut," ujarnya.
www.utusan.com.my