The Red Warriors |
KOTA BHARU - Persatuan Bola Sepak Kelantan (KAFA) akan membuat perubahan drastik dalam usaha memulihkan reputasi The Red Warriors yang tercalar ekoran prestasi terumbang ambing dalam saingan Liga Malaysia (Liga M) setakat ini.
Penasihat KAFA Tan Sri Annuar Musa menerusi entri laman sosial facebook miliknya semalam berkata, pembaharuan tersebut akan dapat dilihat dalam tempoh terdekat.
Beliau berkata, pembaruan tersebut meliputi barisan pemain import dan corak permainan bagi memperkemaskan lagi pasukan untuk menghadapi baki saingan Liga M.
"Apa pun The Red Warriors bakal berubah wajah, yang sering 'cedera' dan buat 'perangai' akan digugurkan dari pasukan. Disiplin dan ketegasan perlu dikembalikan.
"Beberapa pemain import tak habis-habis dengan masalah, rata-rata pemain tempatan lebih berdisiplin dan komited. Perlu beberapa tindakan drastik, rupanya membina pasukan tidak mudah.
"Tiada siapa pun yang lebih besar daripada pasukan. Kecewa sudah tentu pasti, mengaku kalah mungkin tidak kerana kami adalah The Red Warriors," katanya.
Annuar memberitahu, beliau cukup risau melihat prestasi pemain yang berharga mahal tetapi prestasinya menurun termasuklah barisan pertahanan semakin longgar.
"InsyaAllah rehat selama dua minggu ini bakal menyaksikan pembaharuan The Red Warriors. Semua pemain cergas untuk aksi separuh akhir pertama Piala FA," katanya lagi.
www.utusan.com.my