Home » , » Wan Zack Haikal sah daftar TRW

Wan Zack Haikal sah daftar TRW

Wan Zack Haikal
PENANTIAN penyokong setia untuk melihat bekas pemain kelab Rukyu FC, Wan Zack Haikal Wan Noor menyarung jersi The Red Warriors (TRW) bakal berakhir apabila pemain 23 tahun itu disahkan menyertai barisan muka baharu pasukan Kelantan.

Setiausaha Agung Persatuan Bola Sepak Kelantan (Kafa), Azman Ibrahim berkata, pihaknya telah menerima sijil perpindahan antarabangsa (ITC) pemain tersebut daripada kelab di Jepun.

Katanya, kini Wan Zack Haikal telah didaftarkan bagi membantu memperkuatkan lagi TRW untuk berhadapan dengan baki perlawanan dalam saingan Liga Super musim ini.

Pada masa sama, beliau berkata, Kafa membenarkan pemain pertahanan, Muhammad Aizat Jaini untuk membuat persetujuan bersama melepaskan tanggungjawabnya dalam pasukan bagi beri ruang kepada Wan Zack Haikal.

“Muhammad Aizat ada mengemukakan permohonan untuk dilepaskan dan kita bersetuju berbuat demikian bagi membolehkan dia beraksi bersama kelab lamanya iaitu UiTM FC,” katanya kepada media, semalam.

Akhbar tempatan baru-baru ini melaporkan Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) belum menerima permohonan daripada Kafa untuk mendaftarkan Wan Zack Haikal, sekali gus mencetuskan persoalan dalam kalangan pemerhati bola sepak tempatan.

Sebelum itu, pihak Kafa telah mendaftarkan Brendan Gan yang baru memperoleh taraf kewarganegaraan Malaysia dan Mohd Fitri Omar daripada Angkatan Tentera Malaysia (ATM) untuk memperkuatkan pasukan.

Kemarau kekalahan dalam beberapa perlawanan saingan Liga Super dan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) sedikit terubat apabila Kafa membuat langkah drastik mengundurkan pengendali utama, Steve Darby serta menggantikan pemain sedia ada dengan muka baharu.

Malah, kemunculan Wan Zack Haikal sememangnya dinanti seluruh peminat TRW walaupun pemain muda itu mengalami masalah kecederaan anterior cruciate ligament sejak Oktober, tahun lalu.

Namun begitu, Azman berkata, pemain itu kini dipantau doktor pakar yang memiliki pengalaman bagi memastikan pemain sayap kebangsaan itu dapat kembali beraksi dalam pasukan pahlawan merah timur ini.

Dalam pada itu, Azman berkata, seorang lagi tonggak pertahanan TRW, Muhammad Aziz Ismail kini bersedia memikul tanggungjawab pasukan apabila dilaporkan hampir pulih daripada kecederaan.
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment