Sultan Ahmad Shah |
Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dijangka menang tanpa bertanding bagi merebut jawatan sebagai Presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
Itu spekulasi terbaharu yang diperkatakan oleh pemerhati dan peminat bola sepak tempatan sebelum FAM mengadakan kongres ke-50 badan induk itu pada 25 Mei depan.
Spekulasi tersebut mula timbul apabila seorang sumber rapat dengan FAM yang enggan dikenali mendedahkan, Sultan Ahmad Shah bersedia untuk melepaskan jawatan baginda kepada anakandanya itu.
Sumber itu berkata, Sultan Ahmad Shah telah membayangkan baginda mahu mengundur diri seterusnya memberi laluan kepada Tengku Abdullah menerajuiFAM bagi penggal 2014 hingga 2018.
"Tuanku (Sultan Ahmad Shah) telah bersedia untuk melepaskan jawatan baginda sebagai Presiden FAM.
"Tuanku dikatakan mahu menyerahkan amanat kepada anakandanya (Tengku Abdullah) untuk meneruskan perjuangan dalam memartabatkan bola sepak negara.
"Saya percaya Tengku Abdullah calon yang tepat bagi meneruskan kegemilangan yang ditinggalkan oleh Tuanku," kata sumber itu kepada Kosmo! semalam.
Kosmo! sebelum ini melaporkan, perebutan kerusi Presiden FAM melibatkan tiga penjuru - Sultan Ahmad Shah, Tengku Abdullah dan Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ), Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Bagaimanapun, Tunku Ismail telah menarik diri daripada mencabar jawatan tersebut kerana mahu memberikan fokus kepada pembangunan bola sepak di Johor.
Sultan Ahmad Shah pula tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan sama ada akan mempertahankan atau tidak jawatan yang disandang baginda sejak 30 tahun lalu.
Bagaimanapun, segala-galanya bakal terjawab selepas Mesyuarat Exco FAM yang akan diadakan di Wisma FAM, hari ini.
Pada 2 April lalu, Setiausaha Agung FAM, Datuk Hamidin Mohd. Amin memaklumkan bahawa tiga pencalonan diterima untuk jawatan Presiden FAM.
Bagaimanapun, Hamidin tidak mendedahkan nama calon berkenaan atau persatuan yang mengemukakan pencalonan tersebut.
Difahamkan, Tengku Abdullah telah mendapat 12 pencalonan manakala Sultan Ahmad Shah (lima) dan Tunku Ismail (tiga).
"Kini hanya ada enam daripada 10 calon bagi jawatan Timbalan Presiden FAM, 10 daripada 17 calon untuk Naib Presiden dan 25 daripada 25 pencalonan untuk Exco FAM.
Selain jawatan Presiden FAM, turut dipertandingkan pada sesi pemilihan kali ini adalah dua jawatan untuk Timbalan Presiden dan Naib Presiden (empat jawatan).
www.kosmo.com.my