Home » , » Tunku Ismail belum buat keputusan

Tunku Ismail belum buat keputusan

Tunku Ismail
Kuala Lumpur: Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor (PBNJ) Tunku Mahkota Johor Tunku Ismail Sultan Ibrahim ketika ini mengambil pendekatan ‘tunggu dan lihat’ apabila masih belum membuat keputusan bertanding merebut jawatan tertinggi Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).

Beliau mendapat pencalonan daripada ahli gabungan untuk bertanding bagi jawatan presiden dan timbalan presiden pada Kongres Pemilihan FAM ke-50 pada 25 Mei ini namun status itu belum dimuktamadkan lagi sehingga kini.

Menurut sumber dalaman PBNJ, Tunku Ismail hampir pasti tidak akan bertanding bagi kerusi timbalan presiden namun bagi jawatan nombor satu FAM itu bergantung kepada keputusan penyandang Sultan Ahmad Shah untuk mempertahankan kedudukan itu.

“Setakat ini TMJ belum membuat apa-apa keputusan. Tiada perbincangan serius mengenai pencalonan ini malah ketika ini beliau masih berada di luar negara. Keutamaan beliau adalah rakyat Johor dan bola sepak di Johor tapi mengenai pemilihan FAM itu belum pasti lagi.

“TMJ tidak akan bertanding bagi jawatan timbalan presiden kerana tiada guna untuk beliau berada dalam FAM jika tidak mempunyai kuasa merencana dan menentukan hala tuju FAM. Jawatan presiden lebih sesuai bagi TMJ namun jika Presiden FAM Sultan Ahmad Shah mahu kekal, saya fikir TMJ tidak akan bertanding,” katanya.

Selepas selesai tempoh pencalonan bulan lalu, ahli gabungan memilih untuk mencalonkan Sultan Ahmad Shah, Timbalan Presiden FAM Tengku Abdullah Sultan Ahmad Shah dan Tunku Ismail bagi bertanding merebut jawatan presiden bulan depan.

Tunku Ismail mendapat perhatian apabila beliau berjaya melakukan pembaharuan dalam bola sepak negeri di selatan tanah air itu termasuk kewujudan Johor Darul Ta’zim dan Johor Darul Ta’zim II.

Selain jawatan presiden, turut akan dipertandingkan adalah dua jawatan timbalan presiden, naib presiden (4), Exco lelaki (8) dan wanita (2).

Bagi jawatan timbalan presiden, antara yang dicalonkan adalah Datuk Seri Subahan Kamal, Datuk Seri Afandi Hamzah, Datuk Mokhtar Ahmad dan Datuk Seri Mohamad Hasan.

Jawatan itu kini dipegang Tengku Abdullah dan Tan Sri Annuar Musa yang tidak layak bertanding kerana masih lagi menjalani hukuman penggantungan dua tahun enam bulan kerana melanggar Artikel 88 Statut FAM.


www.hmetro.com.my
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment