Home » , , » Red Warriors yakin jinakkan Felda

Red Warriors yakin jinakkan Felda

Kelantan tekad akan memadam kelebihan jaringan yang dimiliki oleh Felda United pada perlawanan separuh akhir kedua Piala FA di Stadium Shah Alam malam ini.

Ketua Jurulatih Kelantan, George Boateng berkata, bagi memadam kelebihan Felda United itu, pemainnya harus menterjemahkan setiap peluang yang dimiliki dengan meledak jaringan awal.

Katanya, jaringan awal itu penting sebagai pembakar semangat.

Katanya lagi, keputusan seri 3-3 pada aksi separuh akhir pertama di Kota Bharu, bulan lalu tidak menjejaskan tumpuan pemainnya bahkan mereka lebih bersemangat untuk menang.

"Kita telah mengenalpasti segala kelemahan yang ada pada aksi pertama dan memperbaikinya bagi memastikan kemenangan berpihak kepada The Red Warriors.

"Begitupun saya akui Felda cukup kental di bahagian pertahanan dan saya percaya dengan kesungguhan yang ditunjukkan pemain kami sepanjang latihan kita mampu membelah kekebalan mereka," katanya.

Pada aksi pertama 7 April lalu, Kelantan gagal menggunakan kelebihan beraksi di gelanggang sendiri apabila sekadar seri 3-3.

Malah, mereka dikejutkan apabila ketinggalan 0-3 menerusi tiga jaringan awal pelawat pada babak pertama.

Seandainya mara ke pentas final, Boateng berjaya meneruskan legasi kecemerlangan Red Warriors dalam usaha mereka mempertahankan kejuaraan Piala FA yang dimenangi musim lalu selepas menumpaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 1-0.

Boateng memberitahu, pasukannya sudah bersedia untuk menghadapi sebarang kemungkinan, termasuklah beraksi pada masa tambahan atau penentuan sepakan penalti.

Dalam perkembangan lain, Kelantan menerima khabar gembira apabila dua penyerangnya iaitu Ahmad Shakir Ali dan Francis Forkey Doe sudah kembali cergas dan bersedia sedia untuk diturunkan pada pertemuan itu.
Jangan lupa komen di bawah

Comments
0 Comments

0 comments:

Post a Comment